KUALA LUMPUR: Kekurangan bilik darjah hingga memaksa murid mengikuti pembelajaran di luar kelas berisiko menyebabkan mereka ketinggalan dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, proses pembelajaran yang berkesan memerlukan suasana kondusif namun keadaan panas, bising dan sesak jelas menjejaskan tumpuan murid.
“Belajar di ruang yang tidak selesa akan menurunkan motivasi murid malah boleh menyebabkan mereka ketinggalan dalam 3M. Ini isu asas yang tidak boleh dipinggirkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, masalah kekurangan bilik darjah di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Rahmatud Diniah, Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, Tanjung Malim, Perak mendapat perhatian kerajaan negeri selepas laporan mengenainya disiarkan akhbar ini 30 Jun lalu.
Guru Besar, Ahmad Syairozi Muhamed berkata, pihak sekolah telah diminta mengemukakan semula permohonan rasmi pembinaan bangunan tambahan dan kini menunggu keputusan.
SRAR Rahmatud Diniah ketika ini menampung 144 murid Tahun 1 hingga 6 dengan hanya tiga bilik darjah, menyebabkan murid terpaksa berkongsi kelas.
Ketika musim peperiksaan, ada yang menjawab soalan di bawah pokok dan koridor sekolah kerana ruang tidak mencukupi.
Anuar berkata, keadaan murid yang terpaksa berkongsi kelas secara serentak turut menimbulkan cabaran besar kerana guru sukar memberi perhatian kepada dua kumpulan dengan silibus berbeza.
“Situasi ini akan membebankan guru, sukar mengawal murid dan akhirnya merugikan pelajar itu sendiri,” katanya.
Mengulas keadaan murid menduduki peperiksaan di luar bilik darjah, beliau menyifatkan ia tidak adil kerana suasana bising, panas serta kekurangan kemudahan seperti meja, papan tulis dan kipas menjejaskan fokus mereka. – UTUSAN










