Kastam gagalkan cubaan seludup tongkeng ayam dari China - Utusan Malaysia

Kastam gagalkan cubaan seludup tongkeng ayam dari China

MOHD. Nadzri Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan tongkeng ayam yang cuba diseludup melalui Pelabuhan Klang, Selangor pada dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cubaan menyeludup tongkeng ayam dari China melalui Pelabuhan Klang, Selangor gagal apabila tindakan itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dalam operasi pada 12 Ogos lalu.

Pengarahnya, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang disyaki membawa barang larangan kastam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 14,004 peket ‘frozen chicken tails’ atau tongkeng ayam dengan berat 29,000 kilogram (kg) berada dalam kontena berkenaan.

“Berdasarkan semakan, pengimport tidak mempunyai sebarang permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Malah, syarikat yang membawa masuk barang dari China itu juga bukan syarikat yang berada dalam senarai Maqis selain status halal yang mencurigakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, nilai barangan rampasan itu dianggarkan berjumlah RM275,500 dengan duti sebanyak RM13,775.

“Modus operandi digunakan suspek adalah mengimport dagangan tanpa permit. Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a)Akta Kastam 1967,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, selain tongkeng ayam, pihaknya turut membuat rampasan rokok putih dan kretek, minuman keras serta beras dalam tiga operasi berasingan antara 6 hingga 14 Ogos lalu.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama di sebuah rumah kosong di Kampung Keramat, Bagan Serai pada pukul 7.45 pagi, sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM22,511 dengan duti RM139,729.10 dirampas.

“Dalam serbuan kedua di Sitiawan pada 13 Ogos sekitar pukul 9 malam, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah lori dan menjumpai minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM316,626.54 termasuk duti.

“Menerusi serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang merupakan pemandu dan pemilik lori ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, rokok dan minuman keras yang disita itu merupakan barang larangan di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Selain itu, kita turut merampas 6.6 tan beras yang disyaki diseludup masuk dari Bangladesh dalam serbuan di sebuah gudang di Shah Alam, Selangor pada pukul 4 petang, 14 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, beras itu dipercayai diimport tanpa permit sah daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas). Nilai beras yang disita dianggarkan berjumlah RM29,691.20 termasuk duti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN