PARLIMEN: Mindef nafi jadi jurucakap swasta isu helikopter AW149

PARLIMEN: Mindef nafi jadi jurucakap swasta isu helikopter AW149

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan dakwaan menjadi jurucakap kepada syarikat swasta berkaitan isu sewaan helikopter AW149.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, semua persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN–Tanah Merah) mengenai perkara itu dijawab berdasarkan aspek teknikal dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“(Tanah Merah) ada sebut tadi kita menjadi jurucakap kepada pihak swasta, itu sebenarnya tidak benar.

“Sebenarnya apa yang kami lakukan adalah memberikan maklumat. Apa sahaja persoalan dikemukakan, kita jawab sama ada dari segi teknikal ataupun keupayaan kita,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Ikmal Hisham bahawa Mindef seolah-olah menjadi jurucakap pihak swasta dalam isu berkenaan, selain mempersoalkan sama ada helikopter itu benar-benar memenuhi keperluan pengguna akhir (end user).

Mengulas lanjut, Adly berkata, kenyataan berulang kali dibuat Ikmal Hisham mengenai isu itu telah menimbulkan pelbagai persepsi.

“Persepsi banyak dibina di situ. Industri ini memang dimiliki pihak swasta tetapi kepentingan penggunaan helikopter adalah untuk kita, iaitu agensi-agensi kerajaan.

“Seperti yang saya sebut, Mindef melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Majlis Industri Pertahanan telah menetapkan empat bentuk penyelarasan, termasuk melibatkan Bahagian Industri Pertahanan bagi mengenal pasti bidang industri yang terlibat.

“Begitu juga dengan penyelarasan teknikal yang dilaksanakan sendiri oleh pengguna (user), kerana merekalah yang menentukan aspek teknikal dan teknologi terkini yang diperlukan demi keselamatan serta pertahanan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN