WASHINGTON: Presiden Korea Selatan yang baharu, Lee Jae-myung, memberi amaran Korea Utara kini berupaya menghasilkan antara 10 hingga 20 bom nuklear setiap tahun, tatkala beliau menyeru pendekatan diplomatik bagi meredakan ketegangan serantau.
Berucap di Center for Strategic and International Studies (CSIS) di Washington, Jae-myung mendedahkan program peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Korea Utara yang mampu mencapai wilayah Amerika Syarikat kini hampir siap sepenuhnya.
“Mereka terus membina kapasiti untuk menghasilkan kira-kira 10 hingga 20 senjata nuklear setahun,” katanya.
Menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Korea Utara telah mengumpul sekitar 50 hulu ledak nuklear dan mempunyai bahan fisil yang mencukupi untuk menghasilkan sehingga 40 lagi.
Jae-myung turut mengkritik dasar terdahulu yang lebih bersifat konfrontasi terhadap Korea Utara, termasuk sekatan dan tekanan ketenteraan yang menurutnya tidak berjaya menghalang perkembangan program nuklear Pyongyang.
“Hakikatnya, jumlah senjata nuklear yang dimiliki Korea Utara meningkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini,” ujarnya.
Sebagai langkah membina kepercayaan, beliau memaklumkan Korea Selatan di bawah pemerintahannya telah menamatkan penggunaan pembesar suara yang menyiarkan mesej anti-Korea Utara di sepanjang sempadan ketenteraan, satu tindakan yang sebelum ini dianggap provokatif oleh Pyongyang.
Ucapan Lee hadir selepas sesi pertemuan rasmi beliau dengan Presiden AS, Donald Trump, yang turut menyatakan hasrat untuk bertemu semula dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dalam usaha menghidupkan semula rundingan denuklearisasi yang tertangguh.










