Kapal hantu tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman, jalani pemeriksaan keselamatan

Kapal hantu tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman, jalani pemeriksaan keselamatan

MAZLAN Mat Rejab (kanan) bercakap dengan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia sebelum pemeriksaan keselamatan ke atas kapal hantu di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Pejabat Maritim Kemaman, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Sebuah ‘kapal hantu’ yang dikesan hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi ini dan  menjalani pemeriksaan keselamatan. 

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, proses menunda kapal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor pada 6 Ogos lalu itu mengambil masa lebih dua hari pada kelajuan purata kapal sekitar 3.5 knot dan menempuh perjalanan sejauh 140 batu nautika. 

“Kapal ini akan menjalani pemeriksaan keselamatan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu dan Pahang terlebih dahulu untuk pemeriksaan keselamatan di atas kapal sebelum tindakan lanjut diambil. 

“Selepas pemeriksaan oleh pasukan Hazmat, pasukan penyelamat lain termasuk polis akan masuk ke dalam kapal itu untuk membuat pemeriksaan lain termasuk sekiranya terdapat mangsa di dalam kapal itu sebelum siasatan penuh dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini. 

Mazlan berkata, operasi bersepadu menunda kapal itu membabitkan seramai 62 anggota membabitkan pelbagai agensi keselamatan, industri minyak dan gas termasuk Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan Petronas. 

“Kapal tersebut berisiko tinggi mengancam keselamatan pelantar minyak dan laluan perkapalan serta boleh mencetuskan bencana besar jika dibiarkan hanyut terus di laut,” katanya.

Pada 7 Ogos, media melaporkan seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah kapal tangki asing di kedudukan 36 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, dekat Perairan Johor Timur, Kota Tinggi, yang berlaku sehari sebelum itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN