Saya sudah tutup buku lama, dia bukan sebahagian daripada hidup saya sekarang - Ziana Zain - Utusan Malaysia

Saya sudah tutup buku lama, dia bukan sebahagian daripada hidup saya sekarang – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain menegaskan dia sudah menutup buku lama dan tidak lagi mempedulikan sebarang perkembangan mengenai bekas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Jasmin, termasuk berita perkahwinannya baru-baru ini.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 58, berkata, dia memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi atau komen kerana bekas suaminya itu kini bukan lagi sebahagian daripada kehidupannya.

“Saya tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara itu. Saya mempunyai kehidupan saya sendiri dan dia juga mempunyai kehidupan dia.

“Saya tidak mahu tahu apa-apa pun mengenai perkara tersebut. Dia tidak ada dalam hidup saya lagi dan semua orang sudah meneruskan kehidupan masing-masing,” katanya.

Ziana berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Muzik Lab: Hab Kreatif AJL40 di McDonald’s Pandu Lalu Pantai Sentral, Pantai Dalam, Ahad lalu.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Madah Berhelah ini bersyukur kerana kehidupannya kini sangat bahagia dan tenang bersama anak-anak.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupnya ketika ini, Ziana berkata, fokusnya kini hanyalah untuk anak-anak, namun tidak menolak takdir masa hadapan.

“Alhamdulillah, sekarang Allah memberikan rezeki dan kerjaya yang sangat baik kepada saya. Bagi saya, kebahagiaan itu yang paling utama dan itu sudah mencukupi.

“Jika ditanya pada waktu sekarang, saya memang tidak memerlukannya kerana tumpuan saya lebih kepada anak-anak. Namun, saya tidak boleh melawan takdir di hadapan dan hanya meminta yang baik-baik sahaja daripada Allah,” katanya.

Sebelum ini, bekas suami kepada penyanyi Ziana Zain, Armin Zaharin, telah selamat melangsungkan perkahwinan semula dengan pilihan hatinya yang dikenali sebagai Zety melalui sebuah majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup.

Untuk rekod, Ziana Zain dan bekas suaminya telah mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN