MANCHESTER: Manchester United melaungkan amaran awal kepada pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka terus rancak memperkukuhkan skuad menjelang musim baharu dengan mengesahkan pembelian pemain tengah Brazil, Andrey Santos daripada Chelsea.
Kehadiran Santos mungkin bukan pembelian terakhir The Red Devils apabila kelab itu turut dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan pemain tengah Belgium, Youri Tielemans dalam usaha memperkukuhkan jentera tengah.
United mengumumkan Santos sebagai pemain baharu dengan kontrak sehingga Jun 2031 selepas mencapai persetujuan bersama Chelsea dalam urus niaga yang dilaporkan bernilai 50 juta pound (RM272.6 juta), termasuk bonus berdasarkan prestasi.
Kehadiran pemain berusia 22 tahun itu dilihat sebagai sebahagian daripada pelan pembinaan semula skuad yang sedang dirangka pengurus baharu, Michael Carrick selepas musim mengecewakan tahun lalu.
Santos sendiri tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila menyifatkan perpindahan ke Old Trafford sebagai impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
“Sejujurnya, sejak kecil lagi saya mengimpikan saat ini. Sejarah dan tanggungjawab yang datang bersama lencana kelab ini menjadi sebab saya berada di sini,” katanya.
Bekas pemain Chelsea itu tiba di Manchester dengan reputasi yang semakin meningkat selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim lalu.
Walaupun hanya kembali menyertai skuad utama Chelsea pada musim 2025/2026, Santos berjaya membuat 43 penampilan dalam semua kejohanan dan membuktikan dirinya antara pemain muda paling menyerlah di England.
United melihat Santos sebagai pengganti terbaik kepada Casemiro yang meninggalkan kelab pada penghujung musim lalu, selain mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Manuel Ugarte yang mengalami kecederaan ligamen lutut ketika beraksi bersama Uruguay pada Piala Dunia 2026.
Kelab gergasi England itu kini dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat Tielemans selepas mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 41 juta euro (RM204 juta) dalam kontrak pemain tengah Aston Villa tersebut.
Pemain Belgium itu dijangka menjalani pemeriksaan perubatan dalam masa terdekat selepas rundingan untuk mendapatkan bintang Atalanta, Ederson menemui jalan buntu.
Sekiranya perpindahan tersebut dimuktamadkan, Carrick bakal memiliki kombinasi baharu yang cukup menggerunkan di bahagian tengah menerusi gandingan Santos dan Tielemans.
Malah, laporan media England turut mendakwa United belum menutup pintu untuk terus berbelanja apabila menyertai perlumbaan mendapatkan pemain sensasi Aston Villa, Morgan Rogers.
Situasi itu menunjukkan Carrick dan pengurusan United sangat serius bagi memastikan kelab tersebut meraih trofi selepas menamatkan saingan EPL musim lalu di tangga ketiga untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI/UTUSAN










