PUTRAJAYA: Polis kini sedang menyiasat sama ada wujud dalang atau individu dewasa di sebalik ‘perniagaan’ menjual bahan lucah oleh kanak-kanak bawah umur, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan kes itu masih di peringkat awal dan perkara berkaitan dalang belum dikenal pasti.
Beliau berkata, pihaknya perlu berhati-hati dalam menyiasat kes itu kerana ia melibatkan kanak-kanak dan individu bawah umur.
“Cara menguruskan kes kanak-kanak ini ada kaedahnya di mana gambar tak boleh disiar dan nama tak boleh disebut dan segala perkara lain.
“Jadi, polis jalankan siasatan melalui D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak), intipan dan kemudiannya barulah kami dapat menemui benda macam itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat kementerian dan perhimpunan bulanan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud ‘child predator’ di sebalik pendedahan berkenaan.
Katanya, dalam mengendalikan kes itu, pihak melihat semua sudut termasuk apa dorongan kanak-kanak berkenaan dan tahap pemikirannya kerana sanggup berbuat demikian pada usia muda.
Sebelum ini, Saifuddin di Dewan Rakyat semalam mendedahkan polis berjaya membongkar ‘perniagaan’ menjual bahan lucah menerusi aplikasi WhatsApp yang didalangi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Menurutnya, kegiatan itu ditumpaskan polis pada tahun ini menerusi kerjasama rentas kementerian.
Jelasnya, kumpulan WhatsApp mempunyai 762 ahli dan mereka masing-masing merakam gambar dan bahagian tubuh masing-masing sebelum menjualnya.
Selain kes itu, Saifuddin turut mendedahkan aktiviti `swinger’ atau bertukar-tukar pasangan untuk mengadakan hubungan seks yang dikesan dalam kalangan pelajar universiti dan penjawat awam.
Katanya, aktiviti itu dikesan hasil serbuan ke atas sebuah kondominium mewah di ibu negara tahun lalu, yang turut membuka ruang kepada penangkapan warga asing. – UTUSAN










