‘Kaki’ baharu mudahkan pergerakan dua beradik

‘Kaki’ baharu mudahkan pergerakan dua beradik

DR. Asmadi Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kaki palsu kepada Nik Haziera Safiyya Nik Husmadi (kiri) dan Nik Haznita Safiyya sambil diperhatikan Noriah Adjun di rumah mereka di Lebak, Temerloh, Pahang semalam. – UTUSAN/ DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Dua beradik yang cekal menjalani kehidupan menggunakan sebelah kaki sahaja sejak setahun lalu, akhirnya menarik nafas lega apabila me­nerima sumbangan kaki palsu.

Nik Haziera Safiyya Nik Husmadi, 18, dan kakaknya, Nik Haznita Safiyya, 20, kehilangan kaki kiri akibat nahas jalan raya Februari tahun lalu dan hanya menggunakan tongkat bagi membantu pergerakan selama ini.

Kedua-dua kaki palsu bernilai RM54,000 itu sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang diserahkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Baitulmal), Dr. Asmadi Abdul Rahman di rumah mereka di Lebak, di sini, semalam.

Nik Haziera Safiyya berkata, sudah lama dia mengidamkan kaki palsu hidrolik tersebut bagi tujuan memudahkan pergerakannya.

Katanya, dengan memperoleh bantuan ini, dia mampu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran yang banyak tertangguh.

“Kini saya boleh memberi tumpuan kepada pelajaran terutama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertangguh. Selepas itu saya merancang untuk menyertai sukan para dalam acara memanah dan mahu mewakili negeri ini.

“Namun untuk meneruskan perancangan itu, atas nasihat jurulatih saya perlu memberi perhatian pada pelajaran terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Bagi Nik Haznita pula, dia perlu membiasakan menggunakan kaki palsu yang baru diteri­manya itu.

Katanya, harapannya adalah dapat menjalani kehidupan se­perti biasa termasuk menyambung perniagaannya yang menjual cendol.

“Selepas kehilangan kaki, sa­ya banyak menghabiskan masa duduk di rumah dan dengan adanya kaki palsu jadi saya boleh mula bekerja semula meneruskan perniagaan bersama abang,” katanya.

Sementara itu, ibu mereka, Noriah Adjun, 43, bersyukur apabila nasib anak-anaknya itu mendapat perhatian yang sudi menghulurkan bantuan terma­suk pihak MUIP.

Katanya, hatinya sedih melihat nasib anak-anaknya ter­utama melibatkan kehilangan anggota badan selepas terlibat kemalangan itu.

“Apa pun saya bersyukur kerana nasib mereka terbela hasil keprihatinan pelbagai pihak tampil membantu sejak awal sehingga ke hari ini. Kini, dengan adanya kaki palsu, kehidupan mereka kembali cerah dan kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Dr. Asmadi berkata, Nik Haziera dan Nik Haznita merupakan penerima ke-13 dan ke-14 bantuan kaki palsu oleh MUIP setakat tahun ini.

“Setakat Julai tahun ini, sebanyak RM100,000 telah dibe­lanjakan oleh MUIP khusus untuk membantu golongan asnaf mendapatkan kaki palsu. De­ngan bantuan sebegini mereka yang kurang bernasib baik ini dapat meneruskan kehidupan mereka. Jadi urusan dan perge­rakan harian mereka diharapkan dapat dilakukan seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN