KUALA SELANGOR: Kerajaan digesa menilai semula kewujudan sekolah vernakular kerana ia didakwa tidak menepati asas pembinaan warganegara seperti mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan serta pembentukan budaya berteraskan nasionalisme Malaysia.
Penceramah bebas, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, kewujudan sekolah vernakular juga tidak menepati matlamat sebenar seperti dalam sejarah penubuhan institusi itu suatu ketika dahulu.
“British wujudkan sekolah vernakular sebab mereka menjangkakan selepas itu, orang Cina dan India hendak balik ke negara asal usul mereka (pada masa hadapan). Bagi memastikan, mereka tidak lupakan asal usul, bahasa, budaya dan sebagainya, maka dibenarkan sekolah vernakular dibina.
“Sebelum merdeka, mereka diberikan pilihan sama ada hendak balik atau jadi warganegara ini. Itu British punya janji, sebab itu saya tarik penjajah itu dari satu sudut, pertamanya dia memahami kedudukan orang Melayu itu sendiri,” katanya pada Forum Ayuh Bangkit Bangsaku anjuran Muafakat Nasional (MN) Selangor, malam tadi.
Forum yang dikendalikan oleh moderator, Datuk Dahlan Maamor turut dihadiri peguam kanan dan pakar perlembagaan, Mohamed Haniff Khatri Abdula sebagai panel kedua dan disaksikan hampir 300 pengunjung.
Malah, perkara itu turut disokong Mohamed Haniff yang mendakwa penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran di sekolah vernakular bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa rasmi tidak digunakan.
“Mengajar adalah urusan rasmi Kementerian Pendidikan, jadi ia perlu menggunakan Bahasa Melayu. Sampai sekarang bila jumpa (lepasan sekolah vernakular), mereka tidak boleh bertutur dan menyusun ayat dalam Bahasa Melayu dengan betul.
“Sekolah vernakular, mereka tidak mengajar subjek Matematik, Sains atau apa subjek sekali pun dalam Bahasa Melayu, mereka ajar dalam Bahasa Cina atau India. Jadi, murid yang belajar di situ tidak mungkin fasih Bahasa Melayu. Sebab itu bila kita jumpa anak-anak Malaysia berusia 16 atau 18 tahun mereka tidak boleh cakap satu ayat dalam susunan yang betul,” tegasnya.
Pada Disember tahun lalu, Utusan Malaysia menerbitkan pandangan Felow Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong yang menyatakan pendidikan Cina di Malaysia mahu dilestarikan dalam bentuk yang terang-terangan akan menjejaskan kedudukan serta perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Menurutnya, gejala itu dilihat sepanjang kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang selalu mempertikai apa jua saranan melibatkan mata pelajaran bahasa Melayu meskipun untuk tujuan kebaikan etnik Cina sendiri.- UTUSAN










