PRK Kuala Kubu Bharu: PH mulakan dulu isu pendidikan calon - Ahmad Fadhli - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: PH mulakan dulu isu pendidikan calon – Ahmad Fadhli

Pendidikan calon
AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pas menafikan partinya menolak sekolah vernakular di negara ini, sebaliknya menjelaskan isu yang timbul pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu adalah pertikaian tempat pendidikan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, isu ditimbulkan adalah soal calon PH yang bukan anak tempatan dan tidak menerima pendidikan atau bersekolah di Kuala Kubu Bharu berbanding calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut.

“Bagi kita, sekolah vernakular bukan isu, tetapi isu yang kita sebut adalah bagaimana calon (PH) yang bertanding itu bersekolah rendah dan menengah bukan di Kuala Kubu Bharu sebagaimana yang calon kita tampilkan daripada PN,” katanya kepada pemberita selepas program Ceramah Umum PN PRK Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Terdahulu, Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching menyelar sikap pas Pas yang masih tidak boleh menerima sistem sekolah vernakular yang sudah mencapai usia lebih 60 tahun di negara ini apabila memainkan isu tersebut dalam kempen PRK Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata, serangan pemimpin-pemimpin PN itu menandakan mereka masih tidak boleh menerima sekolah vernakular yang sudah menjadi sebahagian ekosistem pendidikan negara.

Ahmad Fadhli ketika berucap menjelaskan penyokong PH terlebih dahulu memainkan isu pendidikan dan PN cuba membalasnya dengan maklumat Khairul Azhari yang bersekolah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Beliau orang tempatan, itu isunya. Bukan berapa (A) dapat SPM. soalnya di mana kamu dapat pendidikan bagi menyatakan pengalaman calon kita lebih lama berada dalam masyarakat di Kuala Kubu Bharu.

“Mereka heret kononnya kita hina dan sentuh sentimen kaum dan sebagainya,” ucapnya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menjelaskan Pas tidak pernah menentang kewujudan sekolah vernakular sebaliknya menegaskan semakan kurikulum perlu dibuat seperti disuarakan tokoh-tokoh akademik.

“Pas tidak pernah menentang sekolah vernakular, bahkan kita menyatakan sekolah itu boleh terus wujud tetapi dengan beberapa pembaharuan.

“Pembaharuan kita boleh bincang dari sudut kurikulum dan sebagainya, seperti yang disebut oleh tokoh-tokoh akademik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN