JOHOR BAHRU: Malaysia berjaya mengekalkan kadar pemalsuan wang kertas pada tahap yang sangat rendah iaitu hanya 1.1 setiap juta keping (ppm) pada tahun lalu bersamaan 11 keping wang kertas palsu dikesan bagi setiap 10 juta keping wang kertas dalam edaran.
Penolong Gabenor, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, pencapaian itu selari dengan mandat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan kestabilan monetari dan keyakinan terhadap mata wang negara.
Katanya, ciri reka bentuk dan keselamatan yang canggih menyukarkan wang kertas negara dipalsukan sekali gus melindungi kepentingan pengguna dan integriti sistem kewangan negara.
“Penggunaan cap rasmi benang keselamatan, potret tanda bayang, cetakan mikro dan dakwat berubah warna serta ciri moden seperti tetingkap telus dan elemen optik, ia sukar dipalsukan.
“Wang kertas Malaysia juga tidak ketinggalan menggunakan ciri keselamatan seperti unsur cahaya pendaflour dan jalur holografik dalam memperkukuh kualitinya,” katanya .
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Pameran Karya Kertas: Seni Mata Wang di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini semalam.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar.
Abdul Rahman berkata, dalam menghargai warisan dan nilai estetika wang tunai, BNM menyeru masyarakat untuk mengadaptasi serta memanfaatkan pembayaran elektronik sebagai sebahagian daripada evolusi ekonomi dan kemajuan teknologi
Jelasnya, pembayaran elektronik bukan sahaja menawarkan tahap kemudahan, keselamatan dan kecekapan yang tinggi, ia juga menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif.
“Penggunaan e-pembayaran di Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan jumlah keseluruhan transaksi meningkat sebanyak 28 peratus iaitu RM11.5 bilion pada 2023 kepada RM14.7 bilion pada 2024.
“Secara purata, peningkatan ini menunjukkan setiap rakyat Malaysia membuat sekurangnya satu transaksi e-pembayaran setiap hari, ini juga mencerminkan tahap keyakinan masyarakat terhadap kecekapan, keselamatan, serta kemajuan sistem e-pembayaran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, wang tunai masih menjadi salah satu cara pembayaran yang penting dalam negara khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar serta berada dalam keadaan darurat.
“BNM meramalkan bahawa permintaan tunai akan terus ada, selari dengan peningkatan pembayaran elektronik yang didorong oleh faktor pertumbuhan ekonomi, pegangan tunai untuk kecemasan dan sebagai kaedah pembayaran di mana fasiliti pembayaran elektronik tidak tersedia,” katanya. – UTUSAN
Abdul Rahman (tengah) bersama Raven Kumar pada Majlis Perasmian Pameran Karya Kertas di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru










