Jururawat terbayang sambut arwah anak kemalangan di hospital

Jururawat terbayang sambut arwah anak kemalangan di hospital

NORLIZA Mohd. Salleh (dua kiri) bersama Mohd. Roshidi Alias (tengah) ketika hadir mengikuti prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret Gurun. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: “Saya masih terbayang wajah anak waktu dia dibawa masuk ke wad kecemasan dalam keadaan parah.

Ujar Norliza Mohd. Salleh, 44, ibu kepada Allahyarham Muhammad Nur Iman Danial Mohd. Roshidi yang maut dilanggar seorang anggota polis dalam kemalangan di Pekan Gurun, 28 Julai lalu.

Dia yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Yan baru memulakan tugas syif malam ketika anaknya dibawa menaiki ambulan ke hospital itu.

“Sebaik dapat berita kemalangan menimpa anak, saya tunggu di pintu wad kecemasan, sambut sendiri anak. Dia dah kejang dan tak sedarkan diri. 

“Luluh hati saya tengok dia dalam keadaan itu. Saya tak mampu nak tahan sedih sambil membantu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Gurun hari ini.

Terdahulu, Norliza menghadiri prosiding pendakwaan melibatkan seorang anggota polis berpangkat koperal yang dituduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian anaknya.

Azhar Mat Saini, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad dan dikenakan jaminan sebanyak RM6,000.

Norliza yang masih bersedih dengan kehilangan anak bongsu daripada dua beradik itu mengharapkan keadilan untuk anaknya dalam kejadian tragis terbabit.

Sementara itu, Mohd. Roshidi Alias, 44, menganggap pertuduhan yang dilakukan ke atas tertuduh sebagai permulaan kepada satu proses keadilan terhadap anaknya.

“Kami hanya mahukan keadilan buat arwah anak, kami tidak mahu berat belah anak kami mahupun berat sebelah sana. Apapun biar sama-sama adil

“Kes ini mungkin akan ambil masa setahun atau dua tahun, jadi kita minta proses ini telus. Kami akan ikut prosiding kes ini dan bercadang untuk melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN