JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mahu pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing yang mengisi minyak petrol RON95 bersubsidi di negeri ini dikenakan tindakan undang-undang yang tegas atas kesalahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, cadangan itu telah dikemukakan sejak empat bulan lalu, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Katanya, adalah tidak wajar tindakan hanya dikenakan kepada pemilik stesen minyak sahaja, sedangkan pemilik kenderaan asing terlibat tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Kita akan terus mencadangkan kepada kerajaan Pusat supaya penguatkuasaan boleh dibuat terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara, pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing yang mengisi minyak petrol bersubsidi.
“Mengikut undang-undang sedia ada, tindakan hanya boleh dikenakan terhadap pemilik stesen minyak. Justeru, kita mohon undang-undang ini ditambah baik supaya pemilik kenderaan asing ini boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran aplikasi mobil sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di Pasaraya Maslee B5 di sini, hari ini.
Minggu lalu, tular di media sosial seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura dilihat menuang petrol RON95 ke dalam botol plastik besar di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri.
Pemilik kenderaan berkenaan turut didakwa mengisi RON95 ke kenderaannya sebelum mengisinya ke dalam botol plastik besar.
Ting Han berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menjalankan siasatan awal termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit.
“Kita akan meneruskan siasatan lanjutan sebelum membawa kes ini kepada pihak pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya. – UTUSAN










