Johor belanja lebih RM140 juta untuk Tahun Melawat Johor 2026

Johor belanja lebih RM140 juta untuk Tahun Melawat Johor 2026

Mohammad Nazrul Abd. Rahim (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran Pelekat Visit Johor 2026 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri melalui Tourism Johor membelanjakan lebih RM140 juta bagi menaik taraf dan membangunkan semua produk pelancongan di negeri ini bersempena Tahun Melawat Johor (Visit Johor 2026).

Pengarahnya, Mohammad Nazrul Abd. Rahim berkata, hampir 90 peratus infrastruktur pelancongan yang dinaik taraf dan dibangunkan itu akan siap dalam masa terdekat dan bersedia menerima kehadiran pengunjung.

Katanya, pihaknya bersama Persatuan Pelancongan Negeri Johor (JTA) kini giat merancakkan lagi promosi pelancongan termasuk di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia bagi memastikan sasaran kehadiran 12 juta pelancong tercapai.

“Tahap persediaan kita setakat ini berjalan lancar dan hampir semua produk pelancongan di negeri ini telah dinaik taraf dan bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung pada Tahun Melawat Johor 2026.

“Sebagai contoh, Zoo Johor yang dibuka semula sejak tahun lalu kini memasuki fasa dua untuk persiapan pembukaan pada waktu malam, ini salah satu tarikan baharu di negeri ini.

“Kita juga hampir siap naik taraf infrastruktur di Air Terjun Gunung Ledang, dijangka akan dibuka kepada Umum pada bulan depan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelekat Visit Johor 2026 di Stadium Sultan Ibrahim.

Mohammad Nazrul berkata, pelekat Visit Johor 2026 bukan sekadar alat promosi sebaliknya satu lambang solidariti, kebanggaan dan tanggungjawab sebagai rakyat Johor dalam menjayakan kempen pelancongan.

“Tourism Johor telah menyusun pelbagai strategi termasuk pemantapan bahan promosi digital dan antarabangsa, kolaborasi dengan sektor logistik, sokongan kepada program pelancongan tempatan dan penekanan kepada pelancongan lestari dan mesra komuniti.

“Potensi Johor sangat besar, dari pelancongan keluarga, ekopelancongan, agropelancongan, warisan, budaya hinggalah ke pelancongan mewah. Malah, kita mula menarik minat pelabur untuk membangunkan produk baharu yang akan memperkukuh daya saing Johor di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN