PETALING JAYA: Syarikat penyedia penyelesaian transformasi digital, SRKK AI Berhad (SRKK AI) membuat kemunculan sulung yang cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga RM0.60 sesaham.
Harga pembukaan itu mencatatkan premium sebanyak 87.5 peratus atau kenaikan 28 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) yang ditetapkan pada RM0.32 sesaham, dengan 11 juta saham bertukar tangan pada dagangan pertama.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI, Yew Lip Sin berkata, susulan penyenaraian ini, syarikat menyasarkan untuk terus memperluas sumbangan perolehan daripada pasaran luar negara, dipacu oleh pengukuhan operasi di Singapura dan perancangan memasuki pasaran Indonesia.
Katanya, Singapura terbukti menjadi titik rujukan yang berjaya bagi strategi peluasan serantau syarikat, yang mana segmen itu menyumbang RM23.4 juta (21 peratus) kepada perolehan keseluruhan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
“Kami berhasrat untuk mereplikasi model penyampaian diterajui Malaysia ini ke pasaran serantau. Indonesia juga menawarkan peluang yang signifikan buat SRKK AI, yang mana kami telah menyelesaikan empat projek bukti konsep (PoC) berasaskan analitik kecerdasan buatan (AI) di Jakarta dengan sokongan Microsoft.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kelebihan daya saing kami, malah memperdalam kepakaran kami dalam segmen perkhidmatan yang menawarkan margin lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, operasi di Singapura terus menunjukkan prestasi kukuh apabila menyumbang RM7.6 juta atau 24.2 peratus kepada perolehan syarikat.
Menerusi langkah peluasan margin tersebut, SRKK AI merekodkan peningkatan margin untung kasar kepada 23.1 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 22.4 peratus pada tahun kewangan berakhir 2025 manakala perolehan bagi suku dikaji mencatatkan RM31.4 juta.
Daripada jumlah itu, pendapatan berulang menyumbang sebanyak RM17.4 juta atau 55.5 peratus.
Selain fokus serantau, Lip Sin berkata, syarikat akan terus memperkukuh pasaran utamanya di Malaysia melalui peruntukan dana IPO bagi mempercepatkan penggunaan teknologi digital dan penyelesaian berasaskan AI dalam kalangan pelanggan perusahaan.
Langkah IPO SRKK AI membabitkan terbitan awam sebanyak 64 juta saham baharu dan tawaran jualan 13 juta saham sedia ada, sekali gus berjaya meraih dana keseluruhan berjumlah RM20.48 juta.
Daripada dana yang diraih, sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan bagi inisiatif pertumbuhan strategik AI (termasuk penubuhan makmal AI dan akademi AI), RM1.84 juta untuk peluasan geografi ke Indonesia dan RM3.70 juta bagi membina Pusat Operasi Keselamatan (SOC) dalaman.
Baki dana selebihnya akan digunakan untuk aktiviti penjenamaan dan pemasaran (RM1.80 juta), modal kerja (RM4.64 juta) serta membiayai perbelanjaan penyenaraian (RM4.50 juta). – UTUSAN










