PUTRAJAYA: Pendekatan menyeluruh seluruh negara perlu dijadikan teras dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu yang semakin kompleks susulan perkembangan pesat teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan ancaman siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan keselamatan negara tidak lagi boleh dilaksanakan secara berasingan mengikut kementerian atau agensi seperti sebelum ini, sebaliknya, memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kerajaan, sektor swasta dan rakyat.
“Negara kini berdepan situasi yang disifatkan sebagai ‘ ‘post-normal’ (pasca normal) apabila perubahan berlaku terlalu pantas, meluas dan sukar dijangka.
“Saya harap bukan saja Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian yang terlibat, tetapi semua jabatan dan kementerian harus tahu bahawa kita menghadapi keadaan yang bukan normal.
“Dalam hal ini, pendekatan seluruh negara itu penting. Tidak ada lagi compartmentalisation (pemisahan fungsi). Ini isu swasta, ini isu jabatan, ini isu kementerian. Kita perlu gabungkan sinergi supaya ada pendekatan bersama antara jabatan dan kementerian,” katanya ketika berucap pada Majlis Bulan Keselamatan Negara 2026, di sini hari ini.
Anwar berkata, apa yang lebih penting, aspek keselamatan negara kini turut merangkumi ancaman siber, teknologi kuantum, penggunaan dron dan kecerdasan buatan.
Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa semua pihak termasuk penjawat awam, pemimpin politik dan sektor swasta supaya lebih terbuka menerima pendekatan serta teknologi baharu.
“Tidak boleh terikat dengan pendekatan lama. Kita mesti sentiasa terbuka dan tidak boleh hanya menunggu naratif dari luar.
“Kita perlu memikirkan cara dan kaedah baharu untuk menyelamatkan negara serta mengangkat martabat negara,” katanya. – UTUSAN










