KLUANG: Mengulangi isu lama berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya menunjukkan parti lawan kekurangan modal dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak terlibat tidak mempunyai isu baharu sehingga kembali membangkitkan perkara sedemikian.
Katanya, isu berkaitan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor sepatutnya sudah tamat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Isu berkenaan sepatutnya tidak lagi menjadi tumpuan kerana Johor kini berdepan dengan konteks berbeza yang memerlukan perhatian terhadap perkara lebih penting. Saya ingat kawan-kawan kita ini kurang modal ke apa? Cukuplah benda itu, cukup lah. Itu isu PRU15 dulu.
“Semua pihak seharusnya memberi fokus kepada negeri Johor dan tidak terus mengheret isu lama yang dianggap sudah selesai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seluruh Negeri Johor di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sebelum ini, Rosmah mendakwa, wajah dan imejnya telah digunakan tanpa kebenaran dalam bahan kempen berkaitan PRN Johor yang dikaitkan dengan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming.
Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dipaparkan dalam bahan kempen itu dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan mengelirukan pengundi.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bersedia menyokong BN sekiranya tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, Ahmad Zahid menyambut baik perkara itu.
“Bagus lah, bagus lah. Insya-Allah,” katanya ringkas.
Ahmad Zahid tidak mengulas mengenai bentuk kerjasama, sebaliknya hanya memberikan reaksi terbuka terhadap perkembangan tersebut. – UTUSAN










