BUKIT MERTAJAM : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia untuk bekerjasama penuh dengan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) bagi menukar mana-mana pegawai yang dikenal pasti sebagai bermasalah atau terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, sebarang perubahan melibatkan pegawai akan dibincangkan bersama agensi terbabit sekiranya ada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan.
“Pengurusan 22 pintu masuk utama negara kini telah diserahkan sepenuhnya kepada AKPS termasuk di lokasi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor, serta lapangan terbang di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
“Namun begitu, pegawai kami masih menjalankan operasi harian di lapangan terbang terlibat. Tanggungjawab seperti ‘counter setting’ kini di bawah kendalian AKPS.
“Jadi, jika berlaku keperluan untuk rombakan, kita akan bincang dengan pihak AKPS. Sekiranya ada pegawai dikenal pasti melakukan salah laku pula, kita akan ambil tindakan dan beri kerjasama penuh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan pertukaran pegawai JIM yang terlibat dengan isu ‘counter setting’ susulan penahanan beberapa pegawai jabatan itu, baru-baru ini.
Jelas Zakaria, JIM memainkan peranan penting dari segi risikan serta pemantauan dalam membantu AKPS dan kejayaan operasi terkini merupakan hasil kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
“Kalau kita lihat dari segi apa yang berlaku pada dua minggu lepas, memang itu antara hasil kerjasama kita dengan pihak AKPS. Bukannya kata secara ‘total’ daripada AKPS,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Zakaria turut menegaskan bahawa tindakan ke atas pegawai yang bermasalah dilakukan secara konsisten dan bukan sekadar respons terhadap sebarang isu yang tular.
“Sejak 2022 hingga kini, seramai 147 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib dan 55 daripadanya dibuang kerja. Ini bukti kita ambil tindakan secara berterusan,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengekang isu ‘counter setting’, JIM kini memperluaskan penggunaan sistem automatik di pintu masuk negara seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen yang bertujuan mengurangkan interaksi fizikal antara pegawai dan pengembara.-UTUSAN