KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat akan membentangkan penyata khas berkaitan isu buli di sekolah pada Khamis depan.
Pengerusinya, Yeo Bee Yin berkata, laporan itu merupakan rumusan daripada sesi pendengaran bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta taklimat daripada beberapa kementerian terlibat.
Antaranya, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, pembentangan itu akan menekankan syor mewujudkan sistem aduan yang mesra kanak-kanak bagi memastikan isu buli dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Selepas pendengaran dengan NGO dan juga pendengaran taklimat daripada beberapa kementerian, kita akan kumpul dan rumuskan semua supaya kita boleh bentangkan satu penyata pada hari Khamis.
“Semua NGO dan aktivis yang ada kata ialah satu portal child friendly. Jadi kita akan tekankan supaya kita ada satu portal kebangsaan aduan buli yang mesra kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Taklimat Menangani Buli Di Sekolah, di Parlimen, hari ini.
Jawatankuasa itu menegaskan isu buli pelajar perlu dijadikan agenda nasional dengan perhatian segera daripada semua pihak berikutan kebimbangan semakin meningkat.
Taklimat khas itu membabitkan Ahli Parlimen dengan kerjasama Childline Foundation, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Ia membentangkan strategi pencegahan, pengesanan awal dan pembinaan persekitaran sekolah selamat selepas wujudnya keperluan mendesak melibatkan isu itu. – UTUSAN










