Jangan perlekeh martabat wanita - Nurul Izzah

Jangan perlekeh martabat wanita – Nurul Izzah

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyifatkan kenyataan seorang pemimpin Pas yang mengaitkan kepimpinan wanita dengan binatang ternakan sebagai satu cubaan memperlekeh dan merendahkan martabat wanita.

Nurul Izzah berkata, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan nilai Islam, malah tidak mencerminkan akhlak seorang pemimpin yang mendakwa memperjuangkan politik berteraskan agama.

“Saya mengikuti dengan dukacita kenyataan seorang pemimpin Pas di media sosial yang mengaitkan kepimpinan wanita dengan binatang ternakan secara sinis dan menghina.

“Lebih mengecewakan, kenyataan itu bukan sahaja tidak ditarik balik, bahkan mendapat sokongan seorang lagi pemimpin kanan parti berkenaan.

“Walaupun ia dikatakan hanya satu analogi dan tiada niat untuk menghina, kita semua faham bahawa ia adalah cubaan untuk memperlekeh serta merendahkan martabat wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi dilaporkan menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan lembu betina.

Katanya, berdasarkan pemerhatian dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Nurul Izzah turut menyifatkan kenyataan itu sebagai gambaran wajah politik yang hanya tinggal slogan tanpa roh Islam dan nilai akhlak sebenar.

“Kalau inilah wajah politik Islam yang mereka perjuangkan, maka jelas, ia hanya tinggal slogan tanpa roh agama, tanpa akhlak.

“Islam tidak pernah menghina wanita, apatah lagi mereka yang memikul tanggungjawab kepimpinan dengan penuh amanah dan pengorbanan,” katanya.

Nurul Izzah berkata, wanita bukan kelas kedua atau simbol kelemahan, malah sejarah Islam telah membuktikan wanita memainkan peranan besar dalam kepimpinan, ilmu dan dakwah.

“Jika Sayidatina Aisyah boleh menjadi guru kepada para sahabat lelaki dan Ratu Balqis menjadi pemerintah bijaksana yang disebut dalam al-Quran, maka siapa anda untuk mengheret wanita ke kandang binatang dalam hujah politik murahan?

“Lebih 10,000 wanita perawi hadis yang dipercayai, dihormati dan diiktiraf ketokohannya oleh para ulama telah direkodkan dalam sejarah. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah menjadi rujukan utama dalam bidang hadis dan fiqh,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penghinaan terhadap wanita atas nama sindiran politik hanya mengkhianati nilai dan asas agama.

“Saya tidak terhina dengan kata-kata sinis itu, tetapi saya kesal kerana ia keluar dari seorang pemimpin yang kononnya memperjuangkan Islam.

“Islam apa yang membenarkan penghinaan terhadap wanita dijadikan bahan jenaka dan sindiran? Lebih parah, budaya politik toksik seperti ini terus berleluasa dan menghalalkan cercaan atas nama ‘teguran’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN