Jambatan baharu Sungai Bawang perlu disiapkan mengikuti jadual

Jambatan baharu Sungai Bawang perlu disiapkan mengikuti jadual

JAMBATAN sementera menyeberangi Sungai Bawang, di Kilometer 2.1, Jalan Tamparuli-Togop kembali dibuka selepas kerja pembaikan selesai hari ini. - UTUSAN/HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPARULI: Kerja menaik taraf Jambatan Sungai Bawang di Kilometer 2.1, Jalan Tamparuli-Togop perlu dipercepatkan kerana ia satu-satunya laluan keluar masuk bagi lebih 1,000 penduduk dari tujuh kampung sekitar.

Jambatan asal musnah akibat banjir setahun lalu dan hanya digantikan dengan jambatan sementara. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pembinaan jambatan konkrit itu kini mengalami kelewatan hampir tiga bulan.

“Tarikh siap baharu ditetapkan pada 14 November 2025, namun saya minta kerajaan dan agensi pelaksana mempercepatkan pembinaan kerana tempoh pelaksanaan terlalu lama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek bernilai RM2.35 juta di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kemajuan fizikal setakat 30 Jun hanya 47.15 peratus, berbanding jadual asal 63.06 peratus.

Antara kampung bergantung kepada kemudahan itu ialah Kampung Bawang, Kiwoi, Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama. Ia turut menjadi laluan utama ke empat sekolah rendah.

“JKR Sabah memaklumkan faktor cuaca buruk dan banjir menyebabkan kelewatan, termasuk jambatan sementara yang dibina turut roboh beberapa kali,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian meluluskan lanjutan masa (EOT) kepada kontraktor yang terlibat. Madius berharap kerja menaik taraf dapat disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN