GERIK: Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini semakin cerah pada waktu malam berikutan semakin banyak laluan diterangi lampu solar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati antara kawasan sudah diterangi dengan lampu solar termasuk di kawasan tugu peringatan pembinaan JRTB dan lokasi nahas bas meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta beberapa laluan selekoh.
Selain itu, perubahan ketara lain ialah penurapan semula jalan serta penghadang jalan di laluan tersebut yang sedang giat dilaksanakan.
Perubahan itu merupakan antara sebahagian daripada kerja-kerja menaik taraf JRTB, susulan kemalangan tragik pelajar UPSI pada 9 Jun lalu.
Seorang pengguna JRTB, Shuhada Hamzah, 39, gembira dengan perkembangan tersebut kerana merasakan sudah terlampau lama jalan raya itu terbiar tanpa pembaharuan ketara.
“Selepas tular baru-baru ini, saya dan suami sengaja bersiar-siar di JRTB untuk melihat lampu solar pada waktu malam. Ini menggembirakan kami yang sering mahu ke Jeli,” katanya.
Seorang penduduk Gerik, Mohd. Fadzil Abdul Aziz, 48, berpuas-hati dengan tindakan yang dilakukan kerana pemasangan lampu sudah lama diminta oleh para pengguna.
“Malah sudah ada video tular yang memaparkan gajah boleh dilihat menerusi lampu solar yang dipasang,” katanya.
Pemandu kenderaan berat mahu dikenali sebagai Faizal, 44, berkata, dia gembira dengan usaha naik taraf kerana meningkatkan keselamatan pengguna.
“Ini memberi keyakinan untuk memandu pada waktu malam. Tidak lagi takut. Malah jalan yang diturap semula memberi keselesaan ketika memandu,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, pemasangan 385 unit lampu solar di JRTB dijangka siap September depan.
Katanya, sembilan kontraktor dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan bermula 23 Jun lalu.
JRTB Gerik-Jeli dibina ketika zaman komunis pada 1970-an merentasi hutan yang merupakan habitat utama gajah liar dan Harimau Malaya.-UTUSAN










