JOHOR BAHRU: Mangsa buli, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, yang mengalami kecederaan gegaran otak selepas didakwa dipukul, kini mengalami trauma serius sehingga sering mengalami mimpi buruk.
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, berkata perubahan ketara pada sikap anaknya itu mula kelihatan sejak kejadian tersebut.
Menurut Siti Suhana, anak keempat daripada enam beradik itu kerap menangis pada waktu malam selepas terjaga daripada tidur.
“Selepas kejadian, dia sering menyendiri dan kadang-kadang menangis bersendirian. Dia mengalami trauma teruk hingga tidur malam pun selalu mimpi perkara buruk. Bila saya tanya, dia cakap mimpi takut, jumpa hantu dan orang menakutkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Puteri di sini hari ini.
Siti Suhana berkata, Izzul Islam berasa takut untuk ke sekolah kerana bimbang kejadian buli berulang.
Katanya, dia akan rasa selamat jika dua rakannya hadir ke sekolah dan sekolah agama.
“Jika kedua-dua rakan itu tidak datang, dia akan berasa takut,” katanya.
Siti Suhana berkata, dia mengambil langkah membuat laporan polis demi menegakkan keadilan buat anaknya.
“Selepas kes buli ini menjadi viral dan mendapat perhatian media, saya bersyukur ramai yang memberi sokongan supaya saya terus berjuang untuk menegakkan keadilan dan memastikan kes buli di sekolah dihentikan,” katanya.
Sebagai seorang ibu, Siti Suhana bertekad memastikan anak-anaknya membesar dalam keadaan selamat dan sejahtera.
“Saya yang melahirkan dan membesarkan dia, saya tidak pernah lukakan atau pukul dia. Izzul tidak pernah menyusahkan saya walaupun kami hidup dalam keadaan susah. Saya sentiasa berpesan kepada dia bahawa saya akan berjuang demi kesihatannya,” katanya.
Izzul Islam yang merupakan pesakit kanser hidung dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan kebangsaan di Skudai pada 21 Februari dan 7 Ogos lalu.
Susulan kejadian itu, Siti Suhaina membuat dua laporan polis pada 23 Februari di Balai Polis Skudai dan di Balai Polis Larkin 15 Ogos lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










