PETALING JAYA: Sebanyak 38 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 laporan dibuat Pulau Pinang manakala 21 lagi di negeri-negeri lain.
Katanya, siasatan turut melibatkan tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman berkenaan di bawah peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Satu kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya (DPP) Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu dan kini sedang dalam penelitian pihak berkenaan.
“PDRM memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PDRM turut mengambil maklum berhubung perhimpunan yang dijadualkan diadakan di Bertam, Kepala Batas pada 14 Ogos (hari ini).
Beliau turut menasihati agar semua pihak terlibat membatalkan perhimpunan tersebut bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara serta mengelakkan sebarang bentuk pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.
“PDRM sentiasa komited melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan, sebaliknya menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis,” katanya.
Difahamkan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang akan turun mengadakan satu himpunan pada 5 petang ini di Kepala Batas, namun tidak mendedahkan butirannya tetapi dipercayai ada kaitan dengan isu bendera terbalik yang dikatakan dalam usaha menyebar luas mesej perpaduan.
Sabtu lalu, media melaporkan permohonan maaf pemilik premis perkakasan yang mengakui kesilapannya sehingga mencetuskan rasa kurang senang masyarakat di seluruh negara.
Ia selepas beberapa platform media sosial tular rakaman berdurasi 21 saat memaparkan tindakan pemilik kedai berusia 59 tahun itu mengibarkan Jalur Gemilang yang dipasang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik sebelum seorang pekerjanya bertindak merakam aksi berkenaan.
Perbuatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mahu tindakan diambil susulan kejadian seumpama itu dilihat semakin menjadi-jadi terutama ketika negara akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-68.
Siasatan kes itu kini dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN










