Ipoh Sentral wujudkan ribuan peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Ipoh Sentral wujudkan ribuan peluang pekerjaan

SAARANI Mohamad berucap pada majlis pecah tanah pembangunan Ipoh Sentral di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelaksanaan projek Ipoh Sentral dengan nilai pembangunan kasar RM6.2 bilion bakal membuka ribuan peluang pekerjaan sekali gus menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dijalankan secara berperingkat itu bukan sahaja menawarkan peluang kepada tenaga mahir, malah turut membuka ruang kepada pekerja tempatan dalam pelbagai bidang yang menyokong kelancaran pembangunannya.

Malah katanya, projek berimpak tinggi itu juga akan terus menggerakkan ekonomi setempat sebaik sahaja siap dilaksanakan melalui sektor perkhidmatan, menyuburkan keusahawan belia dan mengukuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Inilah pembangunan yang tidak hanya membina bangunan, tetapi membina kehidupan.

“Usahawan tempatan, penggiat seni, pengusaha makanan dan peniaga kecil akan menerima limpahan manfaat daripada arus kemasukan pengunjung dan pengguna perkhidmatan pengangkutan di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh, di sini hari ini.

Majlis pecah tanah tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saarani berkata, pembangunan Ipoh Sentral itu bukan sekadar satu mercu tanda baharu tetapi ia bakal membawa perubahan besar kepada wajah bandar raya Ipoh.

Katanya, pelaksanaan projek itu melambangkan era transformasi menyeluruh daripada aspek ekonomi, sosial, budaya dan kelestarian alam.

“Setiap pembangunan tidak sekadar berdiri sebagai mercu tanda fizikal tetapi mesti mengalirkan manfaat terus ke sanubari dan kehidupan rakyat.

“Sama ada membuka pintu rezeki melalui peluang pekerjaan, menghamparkan ruang untuk perniagaan berkembang mahupun menyuburkan keyakinan bahawa kemajuan ini akan menjadi obor yang menerangi masa depan negeri dan negara,” katanya.

Menurut Saarani, pembangunan Ipoh Sentral itu juga mengutamakan pendekatan ‘community first’ yang mana tiada penempatan yang akan diganggu atau dipindahkan, sebaliknya projek itu membawa nilai tambah serta mengangkat taraf hidup penduduk setempat.

“Kawasan warisan, rumah ibadat dan tapak budaya akan terus dipelihara dengan wujudnya satu zon spiritual berbilang budaya yang unik.

“Tapak rumah ibadat sedia ada dan sekolah dikekalkan manakala sebuah masjid baharu akan dibina untuk memenuhi keperluan komuniti Islam yang semakin berkembang.

“Inilah citra Malaysia yang kita banggakan iaitu kemajuan yang tidak mengorbankan keharmonian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN