Insentif Sinaran Merdeka TNB serikan sambutan Hari Kebangsaan 2025

Insentif Sinaran Merdeka TNB serikan sambutan Hari Kebangsaan 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima sebanyak 1,027 permohonan menerusi program Insentif Sinaran Merdeka 2025 yang menawarkan penjimatan kos pencahayaan hiasan kepada pelanggan komersial sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

TNB dalam kenyataan berkata, program yang diperkenalkan sejak tahun 2000 itu terus mendapat sambutan menggalakkan walaupun jumlah permohonan tahun ini sedikit menurun berbanding 1,863 permohonan pada tahun lalu.

Katanya, sambutan positif itu menunjukkan inisiatif tersebut masih menjadi pilihan pelanggan kerana bukan sahaja menjimatkan kos malah menceriakan suasana sambutan Hari Kebangsaan di pelbagai premis perniagaan.

“Bagi tahun ini, TNB menambah baik tawaran Insentif Sinaran Merdeka selaras dengan Penstrukturan Tarif Elektrik yang bermula 1 Julai lalu. 

“Insentif baharu ini menawarkan kadar lebih rendah khusus untuk pelanggan Bukan Domestik Voltan Rendah dan Voltan Sederhana, termasuk bangunan pencakar langit, pejabat, kompleks komersial, pusat beli-belah, hotel dan stesen minyak,” katanya. 

Tambahnya, pelanggan yang layak ialah mereka di bawah kategori Tarif Am dan Tarif ToU (Time-of-Use), yang telah mendapat bekalan elektrik sebelum 1 Ogos 2024 dengan pengebilan sekurang-kurangnya satu bil sebenar sama ada pada bulan Mei, Jun atau Julai 2025.

“Program yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2025 ini menawarkan kadar istimewa 28.91 sen/kWj bagi Voltan Rendah dan 13.37 sen/kWj bagi Voltan Sederhana, masing-masing 57 peratus dan 45 peratus lebih rendah daripada kadar biasa.

“Manfaat penjimatan akan dipaparkan secara sekali gus dalam bil bulan Oktober 2025 dengan keterangan Insentif Sinaran Merdeka,” katanya. 

Dalam pada itu, Timbalan Pengurus Besar Sungei Wang Plaza, Abdul Hadi Ali berkata, penyertaan pusat membeli-belahnya dalam program berkenaan bukan sahaja menzahirkan rasa cinta terhadap negara malah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

“Sebagai sebuah pusat membeli-belah di tengah Kuala Lumpur, kami berbangga menyertai program ini kerana ia menzahirkan rasa cinta terhadap negara di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Selain itu, Pengurus Integrated Facility Lalaport Mall, Mohd Fizan Mat Nor menyatakan penghargaan terhadap usaha yang digerakkan sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Kami amat menghargai inisiatif ini. Usaha menggalakkan pencahayaan hiasan bangunan serta kawasan sekitar mewujudkan suasana meriah dan penuh semangat patriotik sepanjang musim Merdeka,” katanya.

Permohonan untuk menyertai program ini  boleh dibuat sehingga 15 September 2025 melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau di mana-mana Kedai Tenaga berhampiran. 

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454 atau e-mel [email protected]UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN