Inisiatif UKM tangani mahasiswa stres - Utusan Malaysia

Inisiatif UKM tangani mahasiswa stres

PENULIS bersama para mahasiswa dalam Kursus Kepimpinan MEP Sesi 2025/2026 yang bertujuan memperkukuh jati diri dan ketahanan mental pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UCAPAN Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Parlimen yang menyentuh isu kesejahteraan mental mahasiswa amat bertepatan dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh pelajar institusi pengajian tinggi.

Penekanan terhadap strategi memperkukuh sokongan kesihatan mental merupakan langkah proaktif dalam menangani tekanan akademik, kewangan, dan sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan emosi dan psikologi pelajar.

Sebagai universiti watan yang prihatin dan responsif, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan pelbagai inisiatif selari dengan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasa kesejahteraan mental dan pembangunan holistik mahasiswa.

PENUBUHAN RUANG KATARSIS

Ruang ini menyediakan empat bilik kaunseling individu iaitu Zamrud, Topaz, Nilam dan Delima yang membolehkan sesi kaunseling peribadi dilaksanakan dengan selesa dan efektif.

Sementara itu, Bilik Lavender dan Azalea disediakan bagi sesi kaunseling berkelompok.

Seramai enam orang kaunselor terlatih dan bertauliah berkhidmat untuk mahasiswa UKM bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental sentiasa terjaga.

Selaras dengan transformasi digital, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) turut menawarkan perkhidmatan secara dalam talian melalui Sistem HaloKaunselor yang akan diintegrasikan dalam Aplikasi UKM Siswa.

Pelajar boleh membuat temu janji dan mendapatkan permohonan perkhidmatan dari mana-mana sahaja tanpa had waktu dan lokasi.

Aplikasi ini dilancarkan secara rasmi pada 29 September 2024 menerusi acara “In Person with Doc Zam”, dan disempurnakan oleh Doc Zam dengan tujuan memudahkan pengurusan kehidupan kampus pelajar secara menyeluruh.

Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi memperkasakan fungsi teras HEPA, selaras dengan Pelan Strategik HEPA UKM 2023-2026 dalam memastikan maklumat dan perkhidmatan disampaikan kepada mahasiswa dengan lebih cekap, telus, dan berkesan.

PROGRAM DAN INISIATIF KESIHATAN MENTAL

HEP-UKM turut melaksanakan pelbagai program kesedaran kesihatan mental, antaranya Program Mental Koyak, yang merangkumi ceramah, bengkel, dan khidmat komuniti termasuk sesi kesedaran kepada pelajar sekolah dengan penglibatan aktif kaunselor UKM.
Selain itu, Jerayawara HEP-UKM di kolej kediaman dan Kembara Fakulti dijalankan setiap tahun bagi mendekati pelajar di lokasi mereka dan menyampaikan sokongan emosi secara lebih menyeluruh.

Peranan penting turut dimainkan oleh Urusetia Pembimbing Rakan Siswa (UPRS), sebuah persatuan mahasiswa yang melatih pelajar menjadi pembimbing rakan sebaya.

Mereka telah menerima latihan termasuk Kursus Asas Kaunseling oleh HEP-UKM untuk mengenal pasti rakan yang memerlukan bantuan awal dan bertindak sebagai jambatan kepada perkhidmatan profesional.

HEP-UKM juga telah membangunkan modul interaktif dan sistematik, “Saya Berhak Bahagia” yang diterajui oleh Unit Kaunseling HEP-UKM dan memfokuskan kepada teknik serta kemahiran penjagaan kesihatan mental berasaskan pendekatan kognitif, emosi dan tingkah laku, bagi meningkatkan daya tahan mental peserta.

Modul ini sesuai dijadikan rujukan oleh semua fakulti atau pusat dalam menganjurkan program kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar.

MEDIA SOSIAL DAN PROGRAM TAHUNAN

Bagi memperluaskan capaian, media sosial digunakan secara optimum sebagai platform interaktif, termasuk pengisian slot “Bicara Kita” – siri bulanan perkongsian ilmu untuk kesejahteraan minda – hasil kolaborasi antara Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) dan Unit Kaunseling HEP-UKM.

Selain itu, poster kesedaran disiarkan secara berkala manakala saluran TikTok UKM dimanfaatkan untuk perkongsian satu minit secara ringkas dan berkesan.

University Young Motivator Competition (U-MAC) turut dijadikan sebagai program tahunan untuk mencungkil bakat motivator muda dalam kalangan pelajar UKM.

Para kaunselor UKM juga kerap dijemput untuk menjayakan sesi ceramah dan perkongsian oleh fakulti serta pusat tanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan kesejahteraan emosi mahasiswa secara menyeluruh.

Sebagai pengiktirafan kepada Bulan Kaunseling Kebangsaan pada bulan Oktober, HEP-UKM turut menganjurkan Karnival Katarsis (KARSIS) sebagai inisiatif utama dalam memperkukuh kesedaran dan sokongan terhadap isu kesihatan mental.

Pelaksanaan pelbagai langkah ini menunjukkan keseriusan UKM dalam membentuk ekosistem kampus yang sihat, selamat dan menyokong pembangunan holistik mahasiswa.

Usaha ini seiring dengan harapan Menteri agar universiti bukan sekadar medan ilmu, tetapi juga platform penting untuk mahasiswa membina ketahanan mental dan kekuatan diri dalam menghadapi cabaran masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN