Infrasel baiki Jalan Mokhtar Dahari  

Infrasel baiki Jalan Mokhtar Dahari  

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2025 (NEC) di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemegang konsesi penyelenggaraan jalan negeri Selangor, Infrasel Sdn. Bhd. (Infrasel) akan melaksanakan kerja menggred semula bahu jalan di enam lokasi sekitar Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya dimaklumkan kerja pembersihan sementara telah dijalankan di kawasan kemalangan, sementara langkah lebih menyeluruh akan segera dilaksanakan.

Tindakan itu diambil susulan kemalangan maut yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di laluan berkenaan, semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pengguna jalan raya.

“Kementerian difahamkan terdapat enam kawasan projek perumahan sedang berjalan di sepanjang laluan tersebut. Kenderaan berat keluar masuk menyebabkan jalan berpasir dan kotor.

“Infrasel akan membuat kerja menggred semula bahu jalan sepanjang kawasan terlibat bagi membuka laluan kiri yang lebih selamat,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Nasional 2025 (NEC 2025), di sini hari ini.

Tambah beliau, dakwaan bahawa kejadian itu berpunca daripada pasir dan tanah dipercayai hasil aktiviti kuari berhampiran, beliau menjelaskan perkara itu sedang dalam siasatan lanjut.

Sebelum ini dilaporkan, kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam, sepatutnya boleh dielakkan sekiranya laluan berkenaan diselenggara dengan baik.

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berkata, keadaan jalan yang dipenuhi pasir serta tanah dipercayai berpunca daripada aktiviti kuari berhampiran. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN