Imigresen FC cuba ‘kepung’ Stadium Darul Aman

Imigresen FC cuba ‘kepung’ Stadium Darul Aman

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kiri) menunjukkan jersi pasukan IFC yang akan bertanding dalam Liga Super Musim 2025/2026 pada majlis peluncuran skuad berkenaan di Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/ SHAHRIL NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC (IFC) masih menaruh harapan untuk menjadikan Stadium Darul Aman, di sini sebagai gelanggang tuan rumah bagi aksi musim 2025/2026.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, skuad bergelar Mighty Tigers itu juga mempertimbang untuk menggunakan Stadium Dato’ Sheikh Ahmad di Perlis yang kini sedang menjalani proses pengubahsuaian.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) tentang hasrat Imigresen FC yang kini berlatih di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di sini.

“Kami telah menulis surat kepada pihak Stadium Darul Aman tetapi sementara menunggu jawapan kami kena buat persiapan dahulu, jadi Stadium Batu Kawan di Pulang Pinang akan menjadi home ground IFC buat masa ini. 

“Pada masa sama, Stadium Dato’ Sheikh Ahmad sedang melalui proses pengubahsuaian dan setelah selesai dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi, stadium itu juga akan menjadi pilihan kami.

“Tapi kalau yang terbaiknya jika Stadium Darul Aman dapat diberi pilihan, kami bercadang untuk pajak satu musim yang memberi pendapatan bagus untuk stadium,” katanya pada Majlis Peluncuran Skuad Liga Super IFC di sini, malam tadi.

Pada Jun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilapor tidak membenarkan IFC untuk mendaftarkan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang sendiri pasukan itu.

Beliau berkata, pasukan dalam negeri lebih berhak menggunakan stadium itu sebagai gelanggang sendiri berbanding pasukan luar, selain mencadangkan IFC menggunakan Stadium Bandaraya yang dianggap lebih sesuai.

Jelas Saifuddin, penggunaan Stadium Darul Aman tidak akan menimbulkan pertembungan antara skuad IFC dan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kedah FA kerana jadual perlawanan yang berbeza antara kedua-dua liga itu.

Katanya, pemilihan utara khususnya Kedah dan Perlis sebagai pangkalan IFC kerana mahu memberi peluang kepada peminat bola sepak di utara mengikuti pentas Liga Super yang lebih tinggi kualiti permainannya.

“Dalam arena bola sepak tanah air, fokus banyak diberikan kepada Lembah Klang kerana di sana memang banyak pasukan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga ada dua pasukan yang layak memasuki Liga Super. 

“Jadi, di utara ini Perlis dan Kedah yang satu ketika dahulu kuasa bola sepak tetapi tidak dapat menyertai Liga Super yang saingannya lebih tinggi, maka kami bawa salah satu daripada dua pasukan KDN untuk beraksi di kawasan utara,” katanya.

Kata beliau, dalam era bola sepak profesional kini, peminat-peminat sukan itu bebas memilih untuk memberi sokongan atau mengikuti perkembangan mana-mana pasukan termasuk IFC.

“Kalau mereka hendak saksikan pasukan JDT bertarung di utara, maka peluang terbaik adalah apabila giliran perlawanan home match dengan IFC. Tetapi peminat juga ada pilihan kedua untuk menyaksikan pasukan yang bermain di Liga A1,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN