KUALA LUMPUR: Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memfailkan notis usul memohon kubur anaknya digali semula dan bedah siasat kedua dijalankan.
Pemohon, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, memfailkan notis usul itu pada 2.24 petang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam dengan menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sebagai responden.
Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili wanita itu mengesahkan pemfailan notis usul terbabit ketika dihubungi pemberita.
Menurut afidavit yang difailkan, pada 26 Julai lalu, Ummu Haiman telah dimaklumkan bahawa Syamsul Haris akan mengikuti satu kursus latihan Palapes yang diadakan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.
“Saya telah menerima satu panggilan daripada seorang pensyarah di UTM yang memaklumkan kepada saya bahawa Syamsul Haris telah meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada pukul 4.33 petang, 28 Julai lalu.
“Anak saya disahkan meninggal dunia pada hari berkenaan pada pukul 3.50 petang namun sebab kematian tidak dapat disah dan sebab-sebab utama kematian yang dinyatakan adalah sebagai siasatan makmal masih dalam proses,” kata wanita terbabit dalam afidavit tersebut.
Ummu Haiman kemudian segera pergi ke hospital tersebut sekitar 4 pagi untuk melihat jenazah anaknya pada 29 Julai.
Allahyarham Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor pada 29 Julai lalu.
Ummu Haiman Bee mendakwa beliau menerima pelbagai percanggahan berhubung punca kematian Syamsul Haris, sekali gus menimbulkan keraguan bahawa wujudnya unsur jenayah.
“Bedah siasat sebelum ini tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital, sebaliknya hanya dibuat oleh Dr. George Sixtus Fernandez Jr. yang merupakan Pegawai Perubatan gred UD10,” ujarnya.
“Saya dan keluarga tidak dapat melihat keseluruhan jasad Allahyarham semasa berada di Jabatan Forensik dan ketika dimandikan serta dikapankan.
“Jasadnya juga dibawa keluar dalam keranda tertutup dan hanya selepas saya memaksa supaya dibuka, bahagian muka sahaja yang ditunjukkan,” katanya.
Oleh itu, Ummu Haiman memohon mahkamah memerintahkan responden untuk menggali semula kubur anaknya dan menjalankan bedah siasat kali kedua dengan kehadiran peguam atau wakil peguamnya.
Pemohon turut memohon mahkamah mengarahkan pakar forensik mengeluarkan laporan bedah siasat dalam tempoh sebulan.
Ummu Haiman turut memohon perintah mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah untuk melantik satu pasukan baru dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas siasatan daripada pegawai siasatan yang terkini sebagaimana dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Turut dimohon ialah perintah mengarahkan Peguam Negara untuk menjalankan inkues bagi menyiasat punca kematian Syamsul Haris dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.
Pada 12 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, memaklumkan satu jawatankuasa khas di bawah Kementerian Pertahanan ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan, dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau menegaskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak melindungi mana-mana pihak dan mengarahkan UTM memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa siasatan, malah tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat unsur tidak baik dalam kejadian itu. – UTUSAN










