PETALING JAYA: Agensi pelancongan tempatan, IBC Tours & Travel Sdn Bhd menyasarkan jualan RM15 juta sempena Matta Fair 2025 bulan depan.
Pengarahnya, Mohammad Rizal Narusuddin berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi tawaran eksklusif bersempena meraikan 30 tahun penubuhan syarikat itu di pasaran.
Katanya, antara pilihan pakej dan destinasi yang menjadi tumpuan setakat ini ialah Turkiye, Balkan, Eropah, Switzerland, Dubai, Korea dan China.
“Semua negara itu masih menjadi pilihan pelancong terutama pada musim cuti persekolahan disebabkan keistimewaan dan keindahan yang terdapat di negara berkenaan.
“Malah, ramai pelanggan yang berulang kali bercuti ke sana dan IBC Tours sendiri mengutamakan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sempena Matta Fair tahun ini, IBC Tours menawarkan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM1 juta menerusi kempen ‘Scan & Win – Tempah & Menang Segera’ sebagai sebahagian daripada usaha menghargai pelanggan yang bakal berlangsung pada 5 hingga 7 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Hadiah utama berupa pakej pelancongan selama 10 hari 8 malam ke negara Eropah (London, Paris, Amsterdam, Brussel dan Switzerland) bernilai RM114,990 bakal menanti 10 pemenang bertuah.
Mohammad Rizal berkata, tawaran eksklusif ini sempena meraikan 30 tahun penubuhan IBC Tours & Travel Sdn Bhd dan penghargaan kepada pelanggan setia yang sentiasa menyokong.
“Kami mahu memberikan pengalaman bermakna buat pelanggan, lebih-lebih lagi buat mereka yang tidak berpeluang melancong ke luar negara. Mungkin inilah masanya,” katanya.
Katanya, menerusi kempen ini, pembeli berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM1 juta dalam bentuk baucar perjalanan, tiket penerbangan, baucar hotel, diskaun pakej serta hadiah eksklusif lain.
Katanya, apa yang menarik, semua pembeli akan menang hadiah dan baucar tunai juga boleh digunakan untuk pembelian semasa apabila terus tolak daripada pakej percutian yang dibeli.
“Antara hadiah utama yang ditawarkan termasuk tiket penerbangan domestik dan antarabangsa, baucar hotel bernilai sehingga RM1,000, baucar diskaun bernilai RM50 hingga RM500 untuk pakej antarabangsa, insurans perjalanan percuma serta pelbagai barangan eksklusif pelancongan seperti adaptor universal, tote bag, luggage tag dan lain-lain.
“Bagi pelanggan yang tidak dapat hadir ke MITEC, IBC Tours turut menyediakan kempen Scan & Win secara online di laman web rasmi syarikat, www.ibctours.com bermula 25 Ogos ini,” katanya.
Selepas membuat tempahan secara dalam talian, pelanggan hanya perlu mengisi butiran seperti nama dan Booking ID untuk menyertai cabutan segera.
Beliau menambah, baucar diskaun turut ditawarkan secara eksklusif menerusi platform digital ini.
Matta Fair 2025 dijangka menarik ribuan pengunjung dengan pelbagai tawaran percutian terbaik dari seluruh dunia, dan penyertaan IBC Tours kali ini dijangka mencuri tumpuan dengan kempen ‘Scan & Win – Tempah & Menang Segera’ bernilai RM1 juta.-UTUSAN