KUALA LUMPUR: Aktiviti perkhemahan dengan kemudahan mewah atau glamping menjadi antara tawaran unik dalam MATTA Fair pusingan kedua tahun ini, khusus bagi menarik perhatian golongan Gen Z.
Eksekutif Pembangunan Perniagaan Gopeng Glamping Park, Mohd. Hafiz Zakaria berkata, konsep glamping semakin menjadi pilihan generasi muda kerana kebanyakan agensi pelancongan menawarkan pelbagai aktiviti dan pakej menarik manakala hidangan yang disediakan pula mendapat pengiktirafan halal.
“Gen Z lebih cenderung memilih glamping kerana ia menawarkan pengalaman percutian yang santai, namun tetap menyeronokkan, lengkap dengan pelbagai aktiviti dan kemudahan yang teratur,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
MATTA Fair kembali untuk pusingan kedua tahun ini dengan pembaharuan yang lebih segar, mesra alam dan berfokuskan pelancongan hijau serta lestari.
Edisi ke-57 pameran pelancongan terbesar negara itu berlangsung pada 5 hingga 7 September di MITEC dengan kemasukan percuma kepada pengunjung.
Mohd. Hafiz berkata, MATTA Fair memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan harga lebih berpatutan berbanding pembelian secara dalam talian, sekali gus memudahkan mereka menyusun percutian bersama rakan.
Katanya, suasana glamping yang unik dengan latar pemandangan menarik sesuai dijadikan lokasi merakam detik indah bersama rakan-rakan untuk dimuat naik ke media sosial.
“Jelaslah bahawa glamping menjadi tarikan utama Gen Z kerana pengalaman itu bukan sahaja menghubungkan mereka dengan alam semula jadi, malah memberi kelainan daripada rutin kehidupan di bandar,” katanya.
Dalam pada itu, pengunjung, Suhaila Suhaidi, 27, berkata, beliau memilih aktiviti glamping sebagai terapi daripada kesibukan bandar.
“Glamping dapat memberikan pengalaman berkhemah dengan kemudahan asas yang selesa dan dalam pada masa yang sama dapat menjadi platform terbaik untuk saya merapatkan hubungan kekeluargaan sambil menikmati ketenangan alam,” katanya. – UTUSAN










