MATTA Fair jadi pemangkin pelancongan hijau dan lestari

MATTA Fair jadi pemangkin pelancongan hijau dan lestari

NIGEL Wong (tengah) ketika sidang akhbar MATTA Fair di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MATTA Fair Kebangsaan kembali untuk pusingan kedua tahun ini dengan pembaharuan yang lebih segar, mesra alam dan berfokuskan pelancongan hijau serta lestari.

Edisi ke-57 pameran pelancongan terbesar negara itu akan berlangsung pada 5 hingga 7 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dengan kemasukan percuma kepada pengunjung.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, penganjuran kali ini akan memberi tumpuan utama kepada MATTA Eco and Sustainable Tourism Initiative (MESTI) yang berteraskan tiga aspek penting iaitu pemuliharaan hidupan liar, pemuliharaan marin serta pemeliharaan budaya dan sejarah.

“Melalui MESTI, kita mahu membawa mesej pelancongan bukan sekadar membeli pakej percutian, tetapi menjadi sebahagian daripada usaha menjaga khazanah alam dan budaya negara.

“Kami sendiri mengambil langkah teladan dengan melibatkan juruaudit luar untuk mengukur jejak karbon sepanjang tiga hari penganjuran. Data ini penting untuk menjadikan MATTA Fair lebih mesra alam pada masa depan,” katanya ketika sidang akhbar MATTA Fair di sini hari ini.

Wong berkata, Pavilion MESTI bakal menjadi tarikan utama dengan lebih 40 reruai yang menampilkan produk pelancongan hijau serta inovasi lestari daripada pelbagai rakan strategik.

“Ia termasuk RHB Bank, Lembaga Pelancongan Sabah, Penang Global Tourism, Resorts World Genting, Royal Selangor dan Pos Malaysia.

“Antara tarikan lain termasuk pameran kenderaan elektrik, pertandingan pembeli dengan hadiah utama sebuah motosikal elektrik, serta urutan tradisional Malaysia yang disediakan oleh M-SPA,” jelasnya.

Tambah beliau, MATTA Fair juga mahu menekankan kekayaan warisan budaya Malaysia yang masih utuh seperti seni bina, kraf tangan dan tradisi tempatan yang menjadi tarikan utama pelancong asing.

“Pelancongan lestari bukan sekadar slogan. Banyak produk pelancongan negara memang wujud secara semula jadi, bukan dicipta. Inilah keaslian Malaysia yang mahu kita tonjolkan kepada dunia,” katanya.

Pameran kali ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 9 malam selama tiga hari dengan kemudahan ulang-alik percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC serta kemudahan parkir di beberapa lokasi berhampiran.

Wong berkata, MATTA Fair bukan lagi sekadar pesta membeli pakej pelancongan pada harga promosi, tetapi kini menjadi platform nasional untuk memacu pelancongan bertanggungjawab yang dapat mengangkat Malaysia sebagai destinasi hijau di rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN