KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa pihak kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian subsidi bahan api khusus untuk kenderaan pelancongan susulan lonjakan harga diesel yang kini melebihi RM5 seliter.
Langkah itu disifatkan amat kritikal bagi memastikan kelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang bakal tiba tidak terjejas.
Naib Presiden Penyelidikan & Teknologi, MATTA, Mohd. Hizzat Mohd Shah, berkata, ketiadaan kawalan harga minyak itu telah memberi kesan langsung yang serius kepada pemain industri pelancongan tempatan.
“Kami mendesak kerajaan agar meneliti pemberian subsidi minyak kepada kenderaan pelancongan memandangkan selama ini sektor tersebut tidak pernah menikmati sebarang subsidi bahan api.
“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing telah memanggil pemain industri untuk sesi libat urus dan perbincangan susulan krisis yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar mengenai Macau: Destinasi Kegemaran Antarabangsa di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Turut hadir Bendahari Kehormat MATTA, Rocky Kho dan Timbalan Pengarah Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau, Cheng Wai Tong.
Kelmarin akhbar melaporkan, pengusaha bas pelancongan semakin tertekan apabila kos operasi meningkat sehingga 100 peratus.
Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff dilaporkan berkata, sebanyak 100 syarikat di bawah naungannya melahirkan kebimbangan terhadap impak jangka panjang kenaikan tersebut yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar.
Sementara itu, Mohd. Hizzat berkata, perbincangan peringkat tinggi itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
“Sesi tersebut merangkumi penglibatan pihak lapangan terbang dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mencari jalan penyelesaian komprehensif untuk membantu pengusaha industri.
“Setakat ini, pihak MOTAC sedang giat menekan agar subsidi ini diluluskan, namun keputusan muktamad kini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya. – UTUSAN










