ALOR SETAR: Sekretariat Suara Anak Kedah menyerahkan memorandum berkaitan 10 isu utama melibatkan kerajaan negeri kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Memorandum mempunyai 26 muka surat itu diserahkan oleh Pengarahnya, Sulaiman Ibrahim kepada Ketua Kerani Pejabat Menteri Besar, Mohd. Zohir Md. Rejab di hadapan Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.
Sulaiman memberitahu, pihaknya mendesak agar Menteri Besar tersebut memberi maklum balas berhubung tuntutan tersebut dalam sidang akhbar mahupun Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Kita memberi masa kepada beliau dalam tempoh dua minggu untuk jelaskan isu ini dan dua tahun pula supaya kerajaan negeri melaksanakan janjinya.
“Sekiranya tidak mendapat sebarang maklum balas kita akan pergi ke akar umbi, rakyat marhaen dan golongan miskin untuk menjelaskan isu ini supaya mereka membuka mata,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tersebut.
Sempena penyerahan memorandum itu, turut berlangsung Himpunan Honggaq Kedah di hadapan Wisma Darul Aman yang disertai kira-kira 70 penyokongnya.
Sulaiman turut membacakan 10 isu utama dalam memorandum bertajuk ‘10 Kegagalan Isu Utama Rakyat Kedah’ itu antaranya menyentuh kegagalan slogan pembangunan ‘The Greatest Kedah’, isu pengangguran, sektor pelancongan, operasi kuari, pengurusan tanah, pembalakan serta kedudukan penjaja kecil.
Katanya, sekretariat mendakwa lebih 100,000 anak muda Kedah masih menganggur walaupun kerajaan negeri menjanjikan pelaburan besar.
“Kami menuntut laporan rasmi jumlah peluang kerja yang diwujudkan dan sasaran jelas 100,000 pekerjaan baharu dalam tempoh dua tahun. Sektor pelancongan turut dipersoalkan apabila fasiliti asas dan kebersihan di banyak lokasi termasuk Langkawi dikatakan gagal diurus dengan baik.
“Sekali gus menyebabkan rakyat tempatan tidak menikmati limpahan ekonomi. Sekretariat menuntut kerajaan menggandakan peruntukan penyelenggaraan fasiliti dan mewujudkan model pelancongan yang lebih inklusif,” katanya.
Dalam masa sama, memorandum itu menuntut penutupan segera operasi kuari di Gunung Pulai dan Gunung Baling yang didakwa menjejaskan keselamatan serta biodiversiti.
Kata Sulaiman, isu terakhir yang dikemukakan ialah pembalakan, apabila kerajaan negeri dituduh gagal mengawal aktiviti tersebut hingga mengundang risiko bencana alam.
“Memorandum mendesak penubuhan jawatankuasa bebas dan audit hutan secara menyeluruh, serta menghentikan pembalakan di kawasan sensitif.
“Memorandum ini bukan serangan politik sebaliknya suara rakyat yang mahukan janji ditunaikan. Mereka menuntut Menteri Besar menjawab secara telus, ilmiah dan tanpa retorik agar mandat rakyat tidak dikhianati,” katanya. – UTUSAN










