Hilang sebelah kaki, pemuda bangkit jadi tukang gunting rambut - Utusan Malaysia

Hilang sebelah kaki, pemuda bangkit jadi tukang gunting rambut

RIZUAN Azman Iskandar memiliki kedai sendiri yang lebih selesa untuk pelanggan di Kampung Beletik di Lipis, Pahang. – UTUSAN/NORFARHIZA MOHD. ATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Cita-cita untuk menyertai pasukan beruniform yang dipendam sejak kecil berkubur sekelip mata bagi Rizuan Azman Iskandar, 27, selepas terlibat kemalangan jalan raya pada April 2016 hingga menyebabkannya kehilangan kaki kanan.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, kejadian itu berlaku hanya seminggu selepas dia menghadiri sesi temuduga tentera di Temerloh dan ujian kelayakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Melaka.

“Saya menunggang motosikal seorang diri sebelum terbabas di selekoh berhampiran gelanggang futsal kampung. Kaki kanan cedera parah akibat kerosakan saraf utama. Doktor terpaksa potong untuk menyelamatkan nyawa.

“Semasa dibawa ke Hospital Kuala Lipis, darah sudah banyak terkumpul di bahagian kaki dan kulit bertukar kebiruan sebelum menjadi hitam. Keadaan itu memaksa pasukan perubatan melakukan pembedahan segera.

“Doktor beritahu, jika pembedahan ditangguh, nyawa saya mungkin melayang. Walaupun sedih, saya reda kerana nyawa lebih utama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedai gunting rambutnya di Kampung Beletik di sini.

Kata Rizuan, apa yang paling meruntun hatinya adalah melihat rakan dan sepupu yang sama-sama hadir temuduga pasukan beruniform ketika itu diterima masuk dan memulakan latihan ketenteraan.

“Saya lulus kedua-dua temuduga itu, namun keadaan diri tidak mengizinkan. Masa itu rasa hancur hati. Kami pergi sama-sama dan bercita-cita nak jadi anggota tentera. Bila mereka berjaya dan saya pula hilang kaki, memang berat untuk saya terima. Ada masa saya termenung lama dan alami kemurungan kerana sering mengenangkan nasib diri,” katanya.

Selepas menjalani pembedahan, Rizuan berkata, dia dirujuk ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, Selangor di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemulihan dan mempelajari kemahiran membuat kaki palsu.

Katanya, di situ dia membina keyakinan diri dan terlibat dalam sukan bola keranjang berkerusi roda sehingga mewakili negara ke Kejohanan Paralimpik di Jakarta dan Bali, Indonesia.

“Beberapa tahun di Bangi, saya pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi penjaga stor di sebuah pasar raya, namun kebanyakan pekerjaan terpaksa ditinggalkan kerana jadual latihan sukan yang padat. Akhirnya, saya membuat keputusan pulang ke Lipis dan cuba bekerja sambil belajar di sebuah kedai gunting rambut di bandar ini,” katanya.

Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mengambil langkah berani membuka perniagaan gunting rambut di hadapan rumahnya dan sambutan diterima sangat menggalakkan.

Katanya, dua bulan lalu, dia menerima bantuan bernilai RM20,000 daripada Pejabat Daerah dan Tanah Lipis berupa sebuah kabin yang dijadikan kedai, penyaman udara dan peralatan gunting rambut, selain bantuan tambahan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM5,000 bagi menambah baik bahagian atap kedai.

“Selain itu, saya sudah dua kali menerima bantuan kewangan berjumlah RM15,000 dari Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk membeli kaki palsu. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus. Dulu saya gunting rambut pelanggan depan rumah sahaja tetapi kini miliki kedai sendiri yang lebih selesa untuk pelanggan.

“Walaupun impian jadi anggota beruniform tidak kesampaian, tetapi Allah ganti dengan punca rezeki sendiri. Saya boleh urus masa, bantu keluarga dan bercadang menambah kemahiran seperti urut serta bekam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN