Henti budaya eksklusif elak rakyat cicir terima bantuan

Henti budaya eksklusif elak rakyat cicir terima bantuan

SHAMSUL AZRI Abu Bakar (lima dari kanan) dan Mohammed Azman Aziz Mohammed (empat dari kanan) pada Majlis Pemeteraian Memorandum Kolaborasi (MOC) melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan One Hope Welfare & Charity sempena Kongres Sinergi Sosial 2025 di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Corak bekerja dalam kepompong atau secara silo diamalkan di negara ini perlu diubah dengan setiap agensi beralih daripada mengamalkan budaya eksklusif kepada sistem kolaboratif. 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah itu perlu supaya tiada rakyat tertinggal dalam setiap program dilaksanakan kerajaan.

Katanya, Program Sinergi Sosial diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 2017 amat selari dengan hasrat kerajaan iaitu menjadikan dasar sosial lebih responsif dan berteraskan rakyat.

“Malah ia bukan sekadar slogan, tetapi ikhtiar strategik unmengimbangi pembangunan material dengan kesejahteraan insan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Sinergi Sosial 2025, di sini, kelmarin.

Shamsul Azri berkata, Memorandum Kerjasama (MoC) antara Perkeso dimeterai sempena kongres itu bersama tiga rakan strategik diyakini berupaya memperkukuh matlamat membina sistem perlindungan sosial menyeluruh.

Kerjasama Perkeso itu melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan One Hope Welfare & Charity. 

Asas kerjasama itu antara lain meliputi penyaluran prospek penerima bantuan secara rentas agensi, perkongsian dan pemadanan data secara bersasar serta pemerkasaan modal insan melalui pembangunan kemahiran dan sokongan sosioekonomi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Program Sinergi Sosial bertujuan membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan  rakyat dengan memastikan mereka tidak tercicir daripada senarai bantuan khususnya golongan B40. 

Katanya, program itu setakat ini merekodkan 979 kolaborasi merangkumi 117 agensi  dan 862 pemimpin masyarakat seluruh negara sebagai mata dan telinga Perkeso.

“Contohnya apabila berlaku sahaja kematian, rakan strategik segera menyalurkan maklumat kepada Perkeso bagi menyemak kelayakan faedah. 

“Mereka memerlukan bantuan tidak lagi perlu mengetuk satu demi satu pintu agensi bantuan sosial,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN