PETALING JAYA: Tindakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketakutan dengan kebangkitan rakyat dianggap sebagai cubaan menutup kegagalan parti itu sendiri.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, kenyataan itu jelas bermotif politik sempit kerana arahan Perdana Menteri kepada agensi penguatkuasa undang-undang hanyalah untuk mengelakkan rusuhan serta menjaga ketenteraman awam, bukannya demi kepentingan politik peribadi.
“Ini soal keamanan dan penyatuan rakyat, bukan soal kedudukan Perdana Menteri. Anwar masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan rakyat.
“Malangnya, Pejuang memilih untuk bermain politik sempit,” kata Syahredzan dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali mendakwa arahan tersebut merupakan percubaan Anwar sebagai ketua eksekutif negara untuk menyekat kebangkitan rakyat terhadap ketidakcekapan kerajaan.
Rafique turut menuduh Perdana Menteri ‘dalam ketakutan’ kerana rakyat mula mempersoalkan kelemahan pentadbiran.
Mengulas dakwaan itu, Syahredzan berkata, kenyataan berkenaan tidak lebih daripada usaha mengalihkan perhatian terhadap kegagalan blok pembangkang, khususnya selepas Himpunan Turun Anwar yang digembar-gemburkan hanya menghimpunkan kurang daripada 20,000 orang, kebanyakannya dari luar Lembah Klang.
Menurutnya, percubaan lain seperti cabaran Waytha Moorthy terhadap keabsahan pelantikan Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong turut gagal kerana tidak mendapat sokongan rakyat, namun langkah itu tetap direstui Pejuang dan sekutunya Perikatan Nasional (PN).
“Pejuang sendiri tidak mempunyai seorang pun Ahli Parlimen, jadi tidak mampu mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Kalau benar yakin Perdana Menteri sudah hilang sokongan, biarlah PN yang bawa usul. Kalau tidak, semua ini hanyalah omong kosong,” tegas Syahredzan.
Beliau berkata, dalam isu yang menyentuh soal keselamatan negara, semua parti politik sepatutnya bersama menjaga kestabilan, bukannya menangguk di air keruh.
“Jangan sampai politik sempit membutakan kewarasan. Apa yang dilakukan Perdana Menteri adalah demi keamanan rakyat dan kestabilan negara, bukannya kerana takut dengan rakyat,” kata Syahredzan. – UTUSAN










