SEREMBAN: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersedia menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai langkah politik yang serius, berprinsip dan bertanggungjawab bagi membawa suara rakyat ke dalam pentadbiran negeri.
Ketua Pejuang Negeri Sembilan, Norizan Ahmad berkata, penyertaan parti bukan hanya untuk bertanding atau menambah warna dalam persaingan politik tetapi tuntutan perjuangan agar parti itu terus relevan, berperanan dan tidak hanya menjadi penyumbang sokongan di pinggir medan politik.
“Saya menegaskan bahawa parti politik yang benar-benar mahu memperjuangkan rakyat tidak boleh selamanya menjadi pemerhati, pengulas atau pelengkap kepada agenda orang lain.
“Dalam politik, suara tanpa mandat hanya menjadi laungan. Mandat rakyat pula memberi kuasa untuk menggubal dasar, memperbetul pentadbiran dan membawa penyelesaian sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh pengundian bagi PRN Ke-16 di Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Norizan memberitahu, Pejuang Negeri Sembilan mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Tujuannya bukan untuk mengejar jawatan tetapi untuk memastikan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi keluarga, kebajikan rakyat, masa depan belia dan harapan anak muda Negeri Sembilan dibawa terus ke meja keputusan kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN










