KUALA LUMPUR: Pembangkang menuntut permohonan maaf daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi petrol RON95.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menuntut prinsip bercakap benar dan berterus terang dipertahankan di Dewan Rakyat.
“Saya mahu mengingatkan Tambun (Anwar), sudah banyak kali kita membangkitkan prinsip berterus terang. Kalau salah, cakap salah.
“Mengapa saya membangkitkan isu ini? Sebab Ahli Parlimen Machang pernah dikenakan tindakan digantung selama enam bulan. Semata-mata, kerajaan kata ketika itu (fakta) tidak betul, laporan palsu dan fitnah,” katanya dalam sidang akhbar bersama ahli Parlimen Pembangkang di Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin menuntut Anwar meminta maaf berhubung kenyataan tersebut ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Semalam, Perdana Menteri mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penafian Muhyiddin berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Semasa sidang Dewan Rakyat, Selasa lalu, Anwar berkata, beliau menerima laporan ada ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi, dengan mengaitkan nama Muhyiddin.
Hamzah berkata, beliau kesal dengan sikap Perdana Menteri yang menuduh Ahli Parlimen pembangkang tidak membuat pembacaan lanjut mengenai isu yang dikaitkan dengan Muhyiddin.
Bagaimanapun, beliau berbesar hati sekiranya Anwar sudi membuat permohonan maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkan. – UTUSAN










