Hala tuju dasar pertanian makin meminggirkan petani kecil

Hala tuju dasar pertanian makin meminggirkan petani kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memartabatkan Hak-Hak Petani Selaras dengan Artikel 9, Perjanjian Antarabangsa Mengenai Sumber Genetik Tumbuhan untuk Makanan dan Pertanian (ITPGRFA) bagi menyelesaikan enam isu yang didakwa kritikal.

Sekumpulan wakil petani, pesawah, pengguna serta pertubuhan masyarakat sivil menyatakan kebimbangan dengan hala tuju dasar pertanian negara yang dilihat semakin meminggirkan peranan dan hak-hak petani kecil dan hak-hak asasi individu.

Justeru, mereka menggesa kerajaan memartabatkan ITPGRFA.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang telah meratifikasi ITPGRFA dan seharusnya komited untuk melaksanakan sepenuhnya Artikel 9 perjanjian tersebut. 

“Ia secara jelas mengiktiraf sumbangan besar petani dalam memulihara dan membangunkan sumber genetik tanaman sekali gus menggariskan hak petani untuk bebas menyimpan, mengguna,menukar, dan menjual benih yang disimpan dari ladang mereka.

“Amalan tradisi ini adalah tulang belakang kepada inovasi petani, penyesuaian tanaman terhadap perubahan iklim, dan pemeliharaan biodiversiti pertanian.

“Kami menggesa kerajaan menggubal dasar-dasar yang secara aktif melindungi dan memartabatkan hak-hak ini, bukannya memperkenalkan perundangan yang menyekat dan mengkriminalisasikan hak-hak petani seperti Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) dan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman,” katanya hari ini.

Terdahulu, sekitar 20 ahli berkumpul di luar bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan mengangkat pertanian berasaskan agroekologi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)

Selain itu mereka menyatakan bantahan terhadap Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) bagi membolehkan Malaysia menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 1991 (UPOV 1991).

“Akta PNPV 2004 sedia ada adalah satu sistem sui generis yang lebih seimbang dan melindungi kepentingan negara serta petani kecil,” katanya.

Mereka juga turut membantah rang undang-undang (RUU) kualiti benih tanaman yang bersifat melampau (overkill) dan membunuh amalan tradisi petani.

“Kami membantah cadangan pengenalan RUU ini yang akan mewajibkan pelesenan kepada semua individu yang menyimpan, memproses, dan mengedar benih tanaman.

“RUU ini hanya akan menjadi alat untuk mengawal sistem benih petani yang tidak formal dan akhirnya membuka jalan kepada penguasaan pasaran oleh syarikat-syarikat besar,” katanya.

Selain itu, kumpulan petani itu menuntut tindakan segera terhadap isu-isu kritikal pesawah padi di seluruh yang didakwa berdepan dengan tekanan ekonomi yang hebat susulan peningkatan kos operasi.

“Terakhir kami menuntut agar diambil tindakan segera terhadap isu dihadapi petani sayur-sayuran dan buah-buahan. Petani dalam sub-sektor ini juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran yang mengancam kelangsungan hidup mereka.

“Kami menuntut pengurusan kesan perubahan iklim meliputi bantuan dan sokongan teknikal yang lebih bersepadu, kawalan lambakan import, dan akses pasaran yang adil,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN