Had umur belia bawah 30 tahun bakal lonjak kepemimpinan muda

Had umur belia bawah 30 tahun bakal lonjak kepemimpinan muda

HANNAH Yeoh (tengah) tegaskan had umur 30 tahun bagi belia negara ini akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Had umur belia bawah 30 tahun diyakini mampu membuka ruang kepada generasi muda memegang tampuk kepemimpinan lebih awal, seiring tuntutan pembaharuan dalam pertubuhan belia, masyarakat sivil dan arena politik.

Ketua Penerangan Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah (MBD SPT), Mohd. Nazirullah Nordin berkata, langkah tersebut bukan sahaja seiring dasar negara malah mampu melonjak potensi golongan muda dengan menyediakan ruang pembangunan yang lebih terarah.

“Penetapan had umur itu selaras dengan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNESCO yang mentakrifkan belia berumur antara 15 hingga 24 tahun manakala banyak negara menetapkan had maksimum sehingga 29 tahun.

“Pelaksanaan ini menunjukkan kesediaan Malaysia menyesuaikan dasar belia mengikut amalan global, sekali gus meningkatkan kredibiliti negara di mata dunia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, ketetapan had umur 30 tahun bagi belia negara ini akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].

Menurut Hannah, keputusan itu kekal meskipun ada kebimbangan dan permintaan daripada beberapa pertubuhan belia supaya pelaksanaannya ditangguhkan.

Nazirullah berkata, penetapan umur bawah 30 tahun dapat memperkasa golongan muda secara fokus kerana usia 18 hingga 29 tahun adalah fasa peralihan penting daripada remaja ke dewasa atau emerging adulthood.

“Tempoh tersebut kritikal bagi pembentukan identiti, nilai dan cita-cita sekali gus memerlukan dasar dan program yang tepat bagi memacu perkembangan menyeluruh belia.

“Dengan memberi fokus kepada kumpulan umur ini, kerajaan dan NGO belia dapat melaksanakan intervensi yang lebih relevan dan efektif,” katanya.

Beliau turut menegaskan, langkah itu membuka peluang kepimpinan kepada generasi baharu lebih awal, seiring keperluan regenerasi kepimpinan dalam pertubuhan belia, masyarakat sivil dan politik.

Selain memperkukuh budaya demokrasi, katanya, ia juga mampu meningkatkan keterlibatan belia dalam membuat keputusan penting pada peringkat komuniti dan negara.

Tambahnya, penetapan umur yang jelas turut membantu menyusun pelan peralihan kepimpinan dan proses pengkaderan untuk memastikan organisasi belia kekal relevan.

“Belia akan lebih terdorong untuk bersedia menghadapi fasa kehidupan seterusnya dengan adanya tempoh tertentu untuk berada dalam kategori ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN