Guna bas persiaran hantar 36 PATI ke kilang beras tidak wujud

Guna bas persiaran hantar 36 PATI ke kilang beras tidak wujud

SERAMAI 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan bas persiaran ke kilang beras tidak wujud di tahan PGA di Sekat Pintas Serongga, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Taktik licik sindiket penyeludupan membawa 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan bas persiaran ke kilang beras tidak wujud terbongkar selepas ditahan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.

Bas tersebut ditahan semasa melalui Sekat Pintas Serongga pada pukul 6.30 pagi tadi.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua penumpang itu merupakan warganegara Myanmar berusia antara 20 hingga 40-an.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati hanya empat individu yang memiliki pasport namun tidak mempunyai cop masuk sah ke negara ini selain tamat tempoh.

“Siasatan mendapati, semua PATI itu diambil dari sebuah kilang di Meru, Klang sebelum dibawa ke kilang beras di Rantau Panjang bagi tujuan pekerjaan.

“Bagaimanapun kilang beras tersebut tidak wujud. Bayaran perkhidmatan bas sebanyak RM2,300 ini telah dibayar oleh majikan melalui transaksi tanpa tunai,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pemandu bas yang merupakan warga tempat turut ditahan bagi membantu siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×