PETALING JAYA: Kejadian gempa bumi kali ketiga berukuran magnitud 3.2 pada skala Richter yang berlaku di Segamat, Johor semalam berpunca daripada pengaktifan semula sesar Mersing.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berulang kerana Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, namun masih terdedah kepada pengaruh tekanan tektonik serantau khususnya dari Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.
Katanya, tekanan tersebut berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar di Semenanjung Malaysia sekali gus menghasilkan gempa bumi kecil hingga sederhana.
“Analisis awal seismologi mendapati pergerakan sesar mendatar sinistral menjadi punca gegaran di Segamat, iaitu blok kerak bumi di utara sesar, bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar ke arah timur.
“Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan, namun ia bukan berpunca daripada aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam, ia berpunca daripada pergerakan kerak benua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, meskipun Malaysia tidak terletak di lingkaran gunung berapi, gempa bumi seperti ini pernah direkodkan di Semenanjung termasuk di Bukit Tinggi, Kenyir, Kuala Pilah dan Manjung–Temenggor manakala Johor pula mengalami gegaran kecil pada 2021 dan 2023 akibat aktiviti seismik luar pesisir Sumatera.
“Kesemua insiden, termasuk gempa di Segamat ini menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa dan menghasilkan pergerakkan bumi,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gegaran direkodkan pada pukul 8.59 pagi dengan pusat gempa terletak kira-kira 18 kilometer (km) di selatan Segamat pada kedalaman sekitar 10 km. – UTUSAN