GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kesal dengan keputusan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, walaupun mengakui sabitan itu sebagai ‘detik penting bagi mangsa’.
Hasina, 78, bersembunyi di India sepanjang perbicaraan bagi tuduhan mengarahkan tindakan keras terhadap kebangkitan pelajar tahun lalu yang menggulingkannya.
Beliau dikenakan hukuman gantung tanpa hadir di mahkamah kerana tindakan keras itu menyebabkan sehingga 1,400 kematian antara Julai dan Ogos 2024, menurut laporan PBB.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB sebelum ini mendapati kerajaan Hasina bertanggungjawab terhadap serangan sistematik dan pembunuhan penunjuk perasaan yang mungkin setara dengan jenayah terhadap kemanusiaan.
Jurucakap PBB, Ravina Shamdasani berkata, pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah, tetapi menegaskan hukuman mati tidak sepatutnya dijatuhkan.
Shamdasani menekankan semua proses pendakwaan, khususnya berkaitan jenayah antarabangsa mesti mematuhi piawaian perbicaraan adil.
PBB turut menyeru mangsa diberi akses kepada pemulihan dan penyelesaian yang berkesan, selain menekankan perlunya reformasi sektor keselamatan yang mematuhi piawaian antarabangsa bagi mengelak pelanggaran hak asasi berulang.
Ketua Hak Asasi PBB, Volker Türk, menyeru semua pihak di Bangladesh bertenang dan bertanggungjawab dalam memberi reaksi terhadap keputusan mahkamah, bagi mengelakkan ketegangan baharu.










