Thaksin diarahkan bayar cukai pendapatan 17.6 bilion baht

Mahkamah Thailand arah Thaksin bayar cukai pendapatan 17.6 bilion baht

THAKSIN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand kelmarin memutuskan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra perlu membayar cukai pendapatan peribadi berjumlah 17.6 bilion baht (RM2.3 bilion) termasuk denda dan caj berkaitan penjualan saham Shin Corporation pada 2006.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan keputusan terdahulu Mahkamah Cukai Pusat dan Mahkamah Rayuan Khas yang sebelum ini memihak kepada Thaksin dengan membatalkan penilaian cukai Jabatan Hasil dengan alasan bercanggah dengan undang-undang.

Dengan keputusan baharu ini, tanggungan cukai tersebut dikembalikan semula dan membuka laluan kepada tindakan penguatkuasaan seterusnya.

Pertikaian itu bermula daripada penilaian cukai yang dikeluarkan pada 2017, apabila Jabatan Hasil menuntut bayaran 17.6 bilion baht daripada keuntungan penjualan saham Shin Corp oleh Thaksin.

Thaksin pada 2023 berjaya mengetepikan tuntutan itu di dua peringkat mahkamah, namun Jabatan Hasil mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung yang kini memutuskan sebaliknya.

Penilaian cukai tersebut dibuat selepas Mahkamah Agung Bahagian Jenayah bagi Pemegang Jawatan Politik merampas aset Thaksin bernilai 46 bilion baht (RM5.9 bilion) pada 2010.

Dalam penghakimannya, Mah­kamah Agung mendapati dua anak Thaksin, Panthongtae dan Pintongta, bertindak sebagai proksi bagi pihak bapa mereka dalam urus niaga saham pada Januari 2006.

Kedua-duanya membeli 329 juta saham Shin Corp pada harga satu baht sesaham daripada Ample Rich iaitu syarikat luar pesisir milik keluarga Shinawatra sebelum menjualnya kepada Temasek melalui Bursa Saham Thailand pada harga 49.25 baht sesaham, meraih keuntungan hampir 16 bilion baht (RM2.04 bilion).

Keseluruhan pegangan kawalan Shin Corp dijual kepada Temasek dengan nilai 73.3 bilion baht (RM9.4 bilion), membolehkan syarikat pelaburan Singapura itu memiliki 49 peratus kepentingan.

Urus niaga besar itu berlaku hanya tiga hari selepas pindaan undang-undang telekomunikasi yang meningkatkan had pemilikan asing daripada 25 peratus kepada 49 peratus berkuat kuasa pada 20 Januari 2006 iaitu ketika Thaksin masih memegang jawatan Perdana Menteri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN