WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila ‘menyerang’dua wartawan wanita dalam tempoh beberapa hari, termasuk memanggil seorang daripadanya ‘piggy’ selepas ditanya berhubung isu pesalah seksual Jeffrey Epstein.
Tindakan itu menimbulkan kritikan meluas terhadap sikap agresif presiden tersebut terhadap media.
Insiden terkini berlaku di Rumah Putih semalam ketika Trump menerima kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.
Wartawan ABC News, Mary Bruce, mengemukakan soalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan antara urusan perniagaan keluarga Trump dan kerajaan Saudi, sebelum menyoal putera mahkota itu berhubung pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.
Trump berang dan menuduh ABC sebagai berita palsu serta menyifatkan Bruce sebagai wartawan yang teruk.
Beberapa hari sebelumnya, insiden berasingan membabitkan wartawan Bloomberg, Catherine Lucey, turut berlaku ketika Trump berada di dalam pesawat Air Force One.
Selepas Lucey bertanyakan sebab Trump enggan mendedahkan fail berkaitan Epstein, presiden itu menuding jarinya sambil berkata:
“Diam. Diam, piggy.”
Rakaman insiden itu tular dan mengundang kecaman termasuk daripada wartawan CNN, Jake Tapper, yang menyifatkan kenyataan itu sebagai menjijikkan dan tidak boleh diterima.










