Gadis Orang Asli dapat 8A mahu jadi guru Bahasa Inggeris

Gadis Orang Asli pertama dapat 8A mahu jadi guru Bahasa Inggeris

NUR Syafienaz Nazri (dua dari kiri) berbual dengan Narita Mohd. Noor (dua dari kanan) dalam sesi pendaftaran kemasukan pelajar baharu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Siapa sangka, se­orang gadis Orang Asli dari pedalaman Gua Musang, dekat si­ni yang membesar tanpa pendedahan kepada bahasa Inggeris berjaya menyambung pe­ngajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Bukan itu sahaja, Nur Syafie­naz Nazri, 18, turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai pelajar Orang Asli pertama di Kelantan memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nur Syafienaz berkata, dia memilih TESL kerana minatnya yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris sejak kecil selain berazam untuk menjadi guru subjek itu suatu hari nanti.

Katanya, meskipun dia ku­rang mendapat pendedahan me­ngenai bahasa tersebut sejak kecil, dia berusaha menguasai subjek tersebut semasa berada di tingkatan empat.

“Saya mula belajar menguasai bahasa Inggeris melalui latihan harian selain memanfaatkan me­dia sosial seperti YouTube dan TikTok yang menyediakan maklumat untuk pembelajaran.

“Alhamdulillah, saya bersyu­kur kerana dapat mencapai impian sejak kecil dan bercita-cita untuk mengajar anak-anak Orang Asli memahami bahasa Inggeris dengan lebih mendalam,” katanya ketika ditemui semasa sesi pendaftaran kemasukan pelajar baharu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini, semalan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, Gua Musang yang juga anak kepada seorang tukang jahit itu adalah seorang daripada lapan pelajar Orang Asli yang catat keputusan cemerlang di Kelantan apabila lulus semua mata pelajaran.

Nur Syafienaz yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, kejayaannya dalam SPM membuktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya dalam bidang pelajaran.

“Nasihat saya kepada rakan-rakan Orang Asli untuk fokus pada perkara yang boleh me­ngubah kehidupan. Hanya ilmu dapat mengubah kehidupan kita.

“Keluar daripada zon selesa dan usah malu untuk mencuba sesuatu yang baharu serta mencapai apa yang kita inginkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Narita Mohd. Noor berkata, seramai 529 pelajar baharu dari seluruh negara mendaftar di IPG Kampus Kota Bharu, semalam bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Katanya, kemasukan kali ini merupakan kali pertama pihaknya menerima pelajar Orang Asli cemerlang untuk mengikuti program tersebut di kampus berkenaan.

“Jumlah pendaftaran tahun ini meningkat lebih separuh berbanding tahun lalu iaitu da­ripada lebih 200 kepada 529 pelajar.

“Sebelum ini, memang ada pelajar Orang Asli di IPG Kampus Kota Bharu, namun kali ini istimewa kerana mereka antara pelajar terbaik dan kami amat bangga menerima mereka seba­gai sebahagian warga IPG,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN