SEREMBAN: Empat lelaki berusia 21 hingga 40 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Bahau, Jempol, minggu lalu.
Tertuduh V. Sayrran Kumar, 21; K. Kumar, 40; G Niressh Pillai, 21; dan M. Thineshvaran, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh yang diwakili peguam didakwa melakukan perbuatan berkenaan masing-masing mengikut tempoh masa berlainan bermula kira-kira pukul 11 pagi hingga 3.30 petang di sebuah bilik rumah di Taman Meranti Bahau pada 23 Ogos lalu.
Dalam kamar mahkamah yang sama, Sayrran Kumar turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan rogol membabitkan mangsa yang sama di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Myvi di hadapan padang Taman ACBE di Bahau, kira-kira pukul 11.30 pagi, Jun lalu.
Sayrran Kumar turut didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang lain juga berusia 12 tahun di sebuah bilik di Taman Meranti Bahau antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari.
Bagaimanapun, Sayrran Kumar yang diwakili peguam Revin Kumar mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.
Kesemua tertuduh berdepan dengan hukuman mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan kecuali Niressh Pillai sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan dihadapinya.
Kesemua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, selain menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke balai polis terdekat. Kes akan disebut semula pada 15 Oktober depan. – UTUSAN










